Berjemaah membentuk kekuatan insani

Sahsiah Hanita Hassan 07-Mei-2020
Berjemaah dengan merapatkan saf © Sonyasgar | Dreamstime.com

Jemaah ialah satu himpunan yang tidak terhad kepada manusia, boleh jadi kepada tumbuhan dan juga haiwan. Jemaah melambangkan penyatuan hati dan keteguhan hubungan antara ahli kumpulan. Allah SWT menyuruh kita hidup secara berkumpulan supaya dapat hidup bermasyarakat, berkenal-kenalan, bergaul mesra dan bantu membantu dalam semua perkara kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Maka wajiblah ke atas kamu berjemaah kerana sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang jauh daripada kumpulannya.” (Hadis riwayat al-Nasai’)

Amalan hidup berkumpulan yang paling mudah dalam hidup kita sebagai Muslim ialah menunaikan solat fardu berjemaah.  Solat fardu lima waktu diwajibkan ke atas setiap Muslim. Ia adalah Rukun Islam yang kedua dan benteng yang paling ampuh untuk  menahan diri daripada melakukan maksiat dan dosa.

Solat berjemaah mengandungi banyak kelebihan dan fadhilatnya.  Ia disyariatkan dalam Islam selepas Nabi SAW berhijrah ke Kota Madinah  kerana Mekah ketika itu  masih dipengaruhi oleh kafir Quraisy.

Nabi SAW ketika sampai di Quba’ dan Madinah, perkara pertama yang dilakukan Baginda ialah mendirikan masjid.  Tujuannya ialah untuk menghidupkan syariat solat berjemaah dalam kalangan umat Islam dalam menunaikan solat fardu lima waktu.

Solat berjemaah pada zaman Rasulullah SAW telah menjadi rutin harian bagi menzahirkan kekuatan umat Islam dan membangkitkan kelazatan beribadah kepada Allah SWT.

Hari ini, kesibukan mengejar tuntutan hidup seperti berkeluarga, berkerjaya dan bermasyarakat telah melalaikan kita untuk memenuhi kewajipan rohani dan tanggungjawab kepada Allah SWT. Kita lalai daripada melakukan ibadah yang wajib seperti solat fardu serta amalan-amalan sunat.

Solat berjemaah mengandungi banyak hikmah, sama ada yang tersurat mahupun tersirat.  Kita dapat menyuburkan sifat mahabbah (kasih sayang), taa’ruf (berkenal–kenalan) dan semangat kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat Islam.  Pertemuan secara langsung ketika berjemaah dapat memecahkan perasaan iri hati dan benci, serta membangkitkan semangat kerjasama dalam menegakkan kebenaran dan menghancurkan kebatilan.

Sempena Ramadan ini, mari kita hidupkan kembali solat berjemaah di rumah bersama ahli keluarga.  Semoga dengan menjadikan amalan ini sebagai rutin harian, kehidupan kita lebih erat, bahagia dan tenang.

Allah SWT menjanjikan pahala berlipat ganda jika kita solat berjemaah, iaitu 27 kali ganda berbanding solat bersendirian.  Sepertimana Sabda Rasulallah SAW yang mafhumnya:  “Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda).” (HR al-Bukhari dan Muslim)