Berjual-Beli Dalam Tempoh 72 Jam Tanpa Henti

Berjual-beli dalam tempoh 72 jam tanpa henti!

Itulah yang akan berlaku pada karnival jualan fesyen raya terbesar, KL Raya Fest 2019 anjuran Mood Republik pada tahun ini.

Bakal berlangsung bermula 24 hingga 27 Mei 2019 dari pukul 10 pagi (pada hari Jumaat) hingga 10 pagi (pada hari Isnin) , acara pada tahun ini akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Dengan lebih 4,000 ruang parkir serta jaringan jalan raya terus ke MITEC, perkhidmatan bas shuttle percuma turut disediakan oleh MITEC dan Rapid untuk menjemput dan menghantar pengunjung ke stesen MRT Semantan sepanjang berlangsungnya karnival itu nanti.

Memasuki tahun keenam penganjuran KL Raya Fest, sebagai peneraju dalam penganjuran festival raya di Malaysia, Mood Republik pada tahun ini mengetengahkan lebih 497 jenama besar tanah air yang majoritinya dimiliki oleh usahawan golongan muda bumiputera.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Mood Repulik, Datuk Kimi Iskandar, karnival jualan pelbagai jenama fesyen dan kecantikan itu turut menghimpunkan selebriti-selebriti terkenal tanah air yang akan turut menjual produk masing-masing.

“Selain golongan selebriti dan jenama-jenama fesyen popular milik usahawan-usahawan muda, acara yang dianjurkan sejak 2014 ini juga telah membantu usahawan-usahawan ibu tunggal serta orang kelainan upaya untuk berniaga.

“Sejak 2014, Mood Republik telah membantu lebih 10,000 usahawan aktif dengan dikunjungi lebih 10 juta orang sejak penubuhannya dengan transaksi jualan melebihi RM500 juta.

“Kami percaya KL Raya Fest 2019 merupakan platform terbaik untuk semua usahawan terlibat mengembangkan perniagaan masing-masing serta menjana keuntungan berlipat kali ganda,” ujarnya pada majlis sidang akhbar bagi pengumuman acara Mood Republik Raya 2019.

KL Raya Fest 2019 merupakan antara acara yang dianjurkan di bawah karnival Mood Republik Raya 2019, selain tiga lagi acara yang juga bakal menggegarkan tiga lokasi lain.

Ia terdiri daripada Kelantan Raya Fest, Kedah Raya Fest dan Pahang Raya Fest, di mana masing-masing akan diadakan di Grand Riverview Hotel Kota Bharu, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan Sultan Ahmad Shah International Convention Centre Kuantan.

Kelantan Raya Fest akan berlangsung pada 10 dan 11 Mei 2019, 31 Mei dan 1 Jun 2019 bagi Kedah Raya Fest serta 1 dan 2 Jun bagi acara Pahang Raya Fest.

Dalam pada itu, bagi penggemar fesyen jenama tempatan, anda pasti tidak mahu ketinggalan untuk mengujungi Mood Republik Raya 2019 kerana pelbagai jenama popular akan berada di sana.

Antaranya, Leeyana Rahman, Elrah Exclusive, Minaz, Jubah Souq, Sugarscarf, Shawl Publika, Tudung Ruffle, CalaQisya, Radiusite, Lily Petuna, Ashh&Annas dan Jannah Noe.

Turut serta ialah barisan selebriti terkenal tanah air denga koleksi masing-masing seperti Rozita Che Wan, Zain Saidin, Fazura, Fattah Amin, Zoey Rahman, Wawa Zainal, Aeril Zafril, Scha Al Yahya, Awal Ashari, Mira Filzah, Janna Nick, Hanis Zalikha, Hairul Azreen, Datuk Hattan, Amyra Rosli dan ramai lagi.

Selain turut mendapat kerjasama daripada Rizman Ruzaini RTW, Ezuwan Ismail RTW, Arma Couture serta Hatta Dolmat, Datuk Jovian Mandagie juga akan turut serta untuk tahun kedua di Mood Republik dengan pelbagai koleksi malar segar di bawah label Jovian RTW.

Turut membanggakan adalah Mood Republik pada tahun ini turut mendapat penajaan dan kerjasama daripada organisasi-organisasi besar seperti Affin Bank, Unifi, Astro dan sokongan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan.

Foto: Facebook Mood Republik