Berkat kelebihan bulan Zulhijah

Berkat kelebihan bulan Zulhijah © Roman Volskiy - Dreamstime.com

Zulhijah ialah bulan kedua belas dan terakhir dalam kalendar Islam. Apabila tiba bulan Zulhijah, umat manusia dari seluruh dunia akan bersiap-sedia untuk menunaikan ibadah haji di Mekah. Ia adalah Rukun Islam kelima yang diwajibkan ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan.

Firman Allah SWT:  “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.” (Surah Al-i Imran, ayat 97)

Daripada Saidina Umar r.a, seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah!  Apakah antara sebab yang mewajibkan haji?  Baginda bersabda:  Ada bekalan dan kenderaan.”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi 813, Ibn Majah 2896)

Berkemampuan bermaksud mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan mereka yang di dalam tanggungan yang ditinggalkan serta mempunyai kenderaan pergi dan balik.

Mampu juga bererti perjalanan yang selamat bagi diri dan harta daripada musuh dan wabak penyakit, sihat serta berkesempatan menunaikan haji dan umrah. (Rujuk al-Idhah fi Manasik al-Haj, 1/96, al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)

Tahun ini, Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan tidak menghantar jemaah haji ke Tanah Suci atas faktor keselamatan dan kesihatan. Sejumlah kira-kira 31,600 jemaah haji Malaysia terpaksa akur sehingga musim haji tahun hadapan.

Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, ia telah menimbulkan risiko kesihatan awam yang serius di seluruh dunia.  Wabak baharu ini telah menjangkiti lebih sembilan juta orang manakala angka kematian telah mencecah hampir 485 ribu.

Ketika ini, Indonesia yang jumlah penduduk Islam paling ramai di dunia juga sudah menarik diri menyertai ibadah haji tahun ini. Begitu juga dengan Senegal dan Singapura yang  turut mengumumkan langkah yang sama.

Bagi jemaah haji yang terpaksa menangguh perjalanan haji masing-masing tahun ini, begitu juga kepada mereka yang belum lagi dipanggil sebagai tetamu Allah SWT, kita sebenarnya berpeluang meningkatkan amalan ibadah pada bulan Zulhijah.

Kita selalu menganggap 10 hari awal Zulhijah tidak penting atau tidak sama nikmatnya berbanding berada dalam bulan Ramadan. Namun, ia sebenarnya mempunyai banyak kelebihan.  Kita harus merebut peluang ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:  :”Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”  (Surah al-Fajr, ayat 1-2). Imam Ibnu Kathir r.a berkata yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah sepuluh awal pada bulan Zulhijah.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah SWT selain daripada hari-hari yang sepuluh ini.  Sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah SAW bersabda: Walaupun berjihad di jalan Allah kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (mati syahid).”  (HR hmad at-Tirmidzi)

Dalam kalangan ulama tafsir menyatakan bahawa kita hendaklah memperbanyak menyebut nama Allah SWT pada 10 hari awal bulan Zulhijah.  Antara amalannya ialah mengucapkan ‘La illaha illallah’, bertakbir Allahu Akbar serta bertahmid mengucapkan Alhamdulillah.

Selain itu perbanyakkan zikir dengan menyebut ‘Subhanallah, Walhamdulillah, Wala ilaha illallah, Wallahu Akbar.’ Kita boleh lakukannya pada bila-bila masa yang sesuai, contohnya sambil memasak atau sewaktu memandu.

Sempurnakan solat fardu di samping melakukan solat-solat sunat dan berpuasa pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijah.  Bagi yang mampu, Rasulullah SAW menggalakkan kita berpuasa dari 1 hingga 9 Zulhijah dan memperbanyak bertaubat dan beristighfar.