Berkongsi hobi – terbaik, berfaedah, dekat dengan Allah SWT

Keluarga Hanita Hassan 24-Okt-2020
dreamstime_s_158606583
Berkongsi hobi - terbaik, berfaedah, dekat dengan Allah SWT © Airdone | Dreamstime.com

Hobi adalah aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan pada waktu lapang yang mampu memberi kepuasan dan ketenangan jiwa.  Ia tidak boleh dipaksa, tidak boleh dijual beli tetapi hobi datang sendiri.  Setiap daripada kita sekurang-kurangnya mempunyai satu hobi agar masa lapang terutama pada hujung minggu terisi dengan perkara yang berfaedah.

Hari ini ramai kalangan anda di luar sana yang tidak mempunyai hobi, selain hanya tidur dan menonton televisyen pada cuti hujung minggu. Masa 24 jam anda selain sibuk dengan kerja dan mengurus keluarga, banyak diluangkan dengan melayari media sosial seperti membeli-belah dalam talian, bersembang di ruang maya atau menonton filem kegemaran di pelbagai platform yang tersedia selain mendengar radio atau muzik kegemaran.

Hobi terbaik – berfaedah, dekat dengan Allah SWT

Anda boleh memilih apa sahaja hobi, asal sahaja ia tidak memudaratkan orang sekeliling dan memberi faedah kepada masyarakat. Sekiranya sesuatu hobi itu boleh membuatkan anda berasa dekat dengan Allah SWT, ia adalah paling baik.

Sebagai contoh, anda suka melakukan kerja-kerja amal  kepada golongan fakir dan miskin, warga emas atau Orang Kurang Upaya (OKU) serta membersih kawasan dalam masjid dan persekitarannya. Percayalah, hobi seperti ini dapat menyerlahkan sisi lain yang ada dalam diri anda.

Hobi tidak perlu mahal. Membaca adalah hobi paling murah tetapi kelebihannya banyak.  Membaca bukan sahaja membantu anda menambah maklumat dan ilmu baharu. Malahan sekiranya maklumat yang diperoleh itu baik dan bermanfaat, ia boleh menjadi inspirasi dalam kehidupan.

Banyak buku terpakai yang boleh dibeli di kedai-kedai buku dengan harga yang murah.  Pilih sahaja bahan bacaan yang anda suka.  Sekiranya anda tidak punya peruntukan yang banyak untuk membeli buku, anda boleh mulakan dengan berkunjung ke perpustakaan awam berhampiran atau membaca buku-buku dari e-book di internet.

Hubungan kekeluargaan juga dapat dipererat jika hobi dilakukan bersama suami dan isteri atau ahli keluarga lain. Selain dapat meluang masa bersama, anda juga boleh berbincang dan memahami kehendak dan kemahuan pasangan atau mengenali perangai anak-anak.

Berkongsi hobi atau minat yang sama memberi peluang anda meluang lebih banyak masa melakukan perkara yang anda suka tanpa mengkesampingkan keluarga pada waktu hujung minggu.

Tanamkan minat anak terhadap hobi

Tanamkan minat anak terhadap hobi anda dengan membenarkan mereka bersama semasa anda melakukan hobi tersebut. Kongsikan keseronokan semasa melakukan hobi dengan memberi peluang kepada anak turut serta seperti meminta pandangan atau bantuan mereka.

Galakkan anak bertanya dan menyoal mereka dengan bahasa yang mudah difahami. Sekiranya anak kecewa, puji usaha mereka dan galakkan dengan memberi kata-kata semangat serta membina dan bukan kritikan.

Mendaki bukit atau berbasikal juga antara hobi yang sihat yang boleh dilakukan bersama pasangan dan anak-anak serta kawan-kawan. Ia adalah aktiviti yang menyeronokkan serta mencabar.  Sebagai permulaan, cari bukit berdekatan atau berbasikal di kawasan berhampiran. Namun anda harus berhati-hati dan sentiasa dalam keadaan yang selamat.

Bagi pasangan suami isteri yang berkongsi minat, ia boleh merapatkan hubungan dan mengukuhkan ikatan kekeluargaan serta menjadikannya aktiviti keluarga setiap dua atau tiga bulan sekali.

Sebaliknya, jika masing-masing mempunyai hobi berbeza, pasangan hendaklah saling sokong menyokong.  Elakkan daripada merahsiakan hobi anda kerana ia boleh mengundang curiga pasangan.

Sesungguhnya apa yang kita lakukan, hendaklah dengan niat kerana Allah SWT. Niat jika hanya kerana Allah akan menjadi amalan ibadah, menghampirkan kita dengan-Nya dan mendapat ganjaran pahala.