Bermusafirlah! Dan ikuti adab bermusafir

Falsafah 04 Apr 2021 Siti Suriani Othman
Pilihan oleh Siti Suriani Othman
Bermusafirlah! Dan ikuti adab bermusafir
Bermusafirlah! Dan ikuti adab bermusafir © Ahmad Faizal Yahya | Dreamstime.com

Artikel ini akan membincangkan kelebihan bermusafir dalam Islam dan adab-adab yang perlu dijaga. Sangat mengujakan kerana ‘berjalan-jalan’ pun mendapat pahala dalam Islam!

Ya, benar sekali.

Kepentingan bermusafir dalam Islam

Bermusafir merupakan sunnah dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. Ini dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Mulk, ayat 15 yang bermaksud:

“Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezekiNya. Dan hanya kepadaNya lah kamu kembali setelah dibangkitkan.”

Namun, untuk membolehkan kita mendapat pahala bermusafir, ada adab yang perlu dijaga. Menjaga adab dalam bermusafir adalah sangat penting dalam Islam.

Ini kerana, jika adab tidak dijaga, maka perbuatan itu tidak boleh dikira sebagai bermusafir. Ini hanya akan dianggap sebagai sesi bersuka-ria semata-mata tanpa mendatangkan faedah di dunia dan akhirat.

Misalnya, adab yang utama ialah bermusafir dengan niat yang baik. Tanpa niat yang baik, perbuatan musafir tidak boleh dikategorikan sebagai bermusafir.

Dalam Islam, banyak kelebihan yang diberikan kepada insan yang bermusafir. Antaranya ialah rukhsah atau keringanan atau kelonggaran. Ini memberi kemudahan dan keselesaan kepada yang bermusafir supaya tidak tertinggal kewajipannya sebagai seorang mukmin iaitu rukhsah solat dan rukhsah puasa.

Adab-adab bermusafir

Selain mempunyai niat dan tujuan yang baik, beberapa adab lain juga dipentingkan dalam Islam. Antaranya ialah mandi sunat sebelum bermusafir, solat sunat musafir dan berdoa supaya perjalanan dipermudahkan.

Selain itu, orang yang bermusafir juga digalakkan mendoakan orang lain kerana doanya yang mustajab:

‎“Tiga doa yang sangat mustajab; doa orang yang puasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang musafir.”

(Hadis riwayat Bukhari, Ahmad dan Tirmidzi)

Malah, Nabi Muhammad SAW sendiri meminta orang yang bermusafir mendoakannya:

Dari Umar Bin Khattab r.a beliau berkata: aku meminta izin kepada Nabi SAW untuk melaksanakan ibadah umrah dan Baginda mengizinkanku serta bersabda:

“Jangan engkau lupakan kami dalam doamu, wahai saudaraku.”

(Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi)

Mencukupi keperluan dan keselamatan termasuk adab bermusafir

Beberapa tanggungjawab lain yang juga merupakan adab dalam bermusafir ialah menyediakan bekalan makanan, wang dan pakaian yang mencukupi untuk tempoh musafir yang dirancang.

Ini termasuklah menyediakan ubat-ubatan yang perlu untuk mengelakkan kesulitan jika ditimpa sebarang kesakitan dalam tempoh permusafiran. Malah, Rasulullah SAW juga sentiasa membawa beg kecil yang berisi kayu sugi, celak, sikat, minyak wangi dan cermin dalam permusafiran Baginda.

Dalam Islam, kita tidak digalakkan bermusafir sendirian. Dari segi adabnya, jika bermusafir lebih daripada tiga orang, sunat bagi kita melantik seorang ketua bagi perjalanan tersebut.

Ini adalah untuk memastikan keselamatan ahli kumpulan dan merancang keseluruhan perjalanan dengan lebih lancar. Soal keselamatan ada disentuh dalam hadis:

“Jika manusia mengetahui bahaya bermusafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir sendirian.”

(Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

Semoga ramai umat Islam yang mengambil kelebihan bermusafir. Dalam waktu pandemik ini, kegiatan bermusafir agak terhad skop dari segi geografinya, namun masih boleh dilakukan dalam limitasi yang ada dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.