Berniaga: Kejayaan bermula dari kegagalan

Ekonomi 08 Feb 2021 Tari Basir
Tari Basir
Berniaga: Kejayaan bermula dari kegagalan
Berniaga: Kejayaan bermula dari kegagalan © Panupong Piewkleng | Dreamstime.com

Tiada ramai yang memilih bidang perniagaan sebagai karier kehidupan. Rata-ratanya lebih suka makan gaji dan bekerja di bawah majikan. Hal ini kerana perniagaan bukanlah sesuatu karier yang mudah, bahkan mudah terlingkup jika tidak kena pada caranya.

Namun, majoritinya tetap tidak menolak perniagaan menjanjikan pulangan yang jauh lebih baik. Walaupun hadis yang menyatakan perniagaan merupakan sembilan daripada sepuluh punca rezeki berstatus daif, namun majoriti daripada golongan manusia yang terkaya di dunia merupakan ahli perniagaan.

Perniagaan sudah tentu bukan karier untuk semua orang. Walaupun ia tampak indah dengan hasil pulangan yang kadangkala berlipat berkali ganda, namun bukan semua melihat tatkala ia jatuh merundum tanpa hasil yang balik modal.

Kini, kewujudan ahli perniagaan dan bermacam jenis perniagaan semakin banyak umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan. Sama ada perniagaan tersebut bersifat milikan tunggal, sistem piramid (MLM), dropship, mahupun perniagaan atas talian, ia telah melahirkan ramai usahawan yang berjaya.

Kejayaan bermula dari kegagalan

Tiada perniagaan yang bermula dengan kejayaan. Majoritinya bermula dengan kegagalan yang sudah acap kali, bahkan ada juga yang membawa kepada putus asa dan mahu menyerah kalah.

Henry Ford, pengasas automatif kereta buatan Amerika iaitu Ford, gagal lima kali sebelum beliau memiliki Syarikat Ford Motor. Honda, sebuah jenama automotif yang diasaskan Soichiro Honda, ditolak oleh Toyota Motor Corporation ketika temuduga jawatan jurutera dan menganggur beberapa lama.

Akio Morita pula telah memasarkan produk pertamanya iaitu periuk nasi yang hangus. Namun, kemudiannya bangkit dan berjaya membawa Sony menjadi syarikat berbilion dollar. Harland David Sanders, atau lebih dikenali Kolonel Sanders, telah ditolak resipi ayam rahsianya sebanyak 1009 kali sebelum menjadi ayam kegemaran satu dunia.

Persamaan tokoh-tokoh ini sudah tentu kegagalan yang dihadapi mereka begitu banyak, sehingga akhirnya mereka berjaya memasarkan produk dan syarikat yang tidak asing di seantero dunia. Kegagalan berulang kali sudah tentu mencipta putus asa, namun mereka tetap bersemangat memasarkan produk mereka terus menerus.

Tiada istilah kejayaan segera dalam berniaga

Walau bagaimanapun, seseorang yang mahu menceburi perniagaan terutamanya bersifat MLM atau dropship perlulah berhati-hati dalam memilihnya sebagai karier. Hal ini kerana, ada perniagaan yang hanya menjanjikan bulan dan bintang dalam tempoh sekelip mata. Padahal semua itu hanyalah omong kosong yang tiada pulangan yang pasti.

Mana-mana perniagaan yang menjanjikan pulangan wang ringgit segera ialah omong kosong lagi penuh tipu daya. Tiada istilah ‘segera’ untuk kejayaan dalam perniagaan, umpama mee segera yang mampu dimasak dalam tempoh dua minit.

Hakikatnya, mee segera tersebut dibuat dalam tempoh masa yang lama, hingga akhirnya mampu dimasak dalam tempoh yang sekejap. Begitu juga dengan kejayaan, yang hanya akan dikecapi dengan sanggup bermula dari bawah dan berani menghadapi kejayaan.

Jadilah peniaga yang beriman

Andai karier perniagaan dipilih, maka jadilah ahlinya yang beriman. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan at-Tirmidzi:

“Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur.”

Kejujuran terutamanya perlu ada dalam seorang peniaga Muslim. Jujur dalam kualiti produk, jujur dengan harga sebenar dan kelebihan produk. Bukannya hanya menanam tebu di tepi bibir sahaja.

Kejujuran dalam berniaga mengait rezeki, walaupun sedikit tapi mencukupi.

“Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi, 1209; hasan)