Bersahabat dengan orang baik

Masyarakat 05 Mac 2021 Hanita Hassan
Pendapat oleh Hanita Hassan
Bersahabat dengan orang baik
Bersahabat dengan orang baik © Viorelpoparcea | Dreamstime.com

Pentingnya bagi setiap muslim bersahabat dengan orang yang baik.  Malahan kita selalu diingatkan supaya berhati-hati dalam memilih kawan.

Bersahabat dengan orang baik

Daripada Abu Huraira r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Seorang mukmin itu berada di atas agama (gaya hidup dan perilaku) sahabatnya. Maka salah seorang daripada kamu hendaklah memerhatikan dengan siapakah dia bersahabat.”

(Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidzi)

Berkawan dengan seseorang yang sentiasa mendekatkan diri kita dengan Allah SWT adalah lebih baik daripada berkawan dengan seseorang yang membuatkan kita melupakan-Nya. Orang yang sentiasa bercakap dan menyebut tentang Allah dan agama Islam dalam setiap perbualannya akan membantu kita mengingati Allah.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.”

(Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Kita perlu mengingatkan diri betapa pentingnya mempunyai kawan yang tidak menyebabkan kita membuang masa. Mungkin kita tidak sedar jumlah masa yang berlalu dalam perbualan yang tidak penting atau tidak mendorong kita menjadi seorang mukmin yang lebih baik. Justeru, kita perlu memastikan agar tidak terlibat dalam perbualan yang sia-sia dan menghindari mereka.

Kawan baik mengelakkan kita melakukan dosa

Bersahabat dengan rakan yang secara sedar atau tanpa sengaja menghalang kita melakukan dosa adalah sangat penting. Mereka mungkin  sedar dan secara tidak sengaja menasihati kita tentang perbuatan yang   tidak betul yang kita lakukan.

Di samping itu, melalui mereka kita menjadi lebih positif dan tidak melakukan perkara yang dilarang Allah SWT.  Persahabatan dengan mereka  akan membimbing kita mengingati Allah.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah SWT berfirman pada hari kiamat kelak: Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku?  Hari ini kunaungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naungan-Ku.”

(Hadis riwayat Muslim, 4655)

Berusahalah mendekatkan diri dengan sahabat yang boleh mendorong anda melakukan lebih banyak ibadah. Contohnya, sekiranya anda berkawan dengan seseorang yang menghabiskan masa mengerjakan solat  atau setiap hari membaca al-Quran, maka lama kelamaan anda juga akan terdorong melakukan perkara yang sama.

Mungkin mereka mengerjakan solat sunat Tahajud (solat malam)  hampir setiap malam atau melakukan lebih banyak perkara kebajikan (dalam bentuk kewangan atau menghulur perkhidmatan kepada masyarakat). Justeru, dikelilingi oleh sahabat seperti ini akan mendorong anda menjadi insan yang lebih baik.

Kehidupan ini hanya sementara

Meskipun mempunyai kawan baik, anda tidak boleh menafikan bahawa rakan anda tidak hidup selamanya. Meskipun anda berasa gembira berada di samping mereka atau berasakan mereka banyak membantu memperbaiki diri anda.

Namun, anda tidak boleh terikat sehingga tidak dapat membayangkan apa yang mungkin terjadi sekiranya kehilangan mereka. Hal ini akan menimbulkan kesedihan kepada anda.

Kerana tidak mustahil suatu hari nanti anda mungkin berselisih pendapat dengan mereka atau mereka tiada lagi di dunia. Anda tidak tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. Ada ketikanya  mereka mungkin melakukan kesilapan.

Sesungguhnya setiap manusia itu tidak sempurna, tidak kira banyak mana dan bagaimana mereka membantu anda.  Benar, seseorang boleh memberi pengaruh positif namun setiap manusia melakukan kesilapan. Anda tidak seharusnya menilai orang lain.