Bersahabatlah pada jalan Allah SWT

Falsafah Hannan
Pendapat oleh Hannan
Bersahabatlah pada jalan Allah SWT
Bersahabatlah pada jalan Allah SWT © Rawpixelimages | Dreamstime.com

Semua orang mempunyai sahabat sendiri. Ada yang sudah berkawan bertahun-tahun. Ada juga yang menganggap pasangan masing-masing sebagai sahabat yang paling rapat.

Tidak kiralah apa definisi sahabat bagi anda, sahabat yang baik merupakan sesuatu yang menjadi dambaan semua orang.

Bersahabatlah pada jalan Allah SWT

Manakan tidak, mencari sahabat sejati merupakan sesuatu yang amat sukar pada masa kini. Malah, terlalu banyak insiden kawan makan kawan yang berlaku hingga ramai yang takut untuk menjalinkan ikatan persahabatan terutamanya dengan orang yang baru dikenali.

Tahukah anda, ikatan persahabatan merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan kita? Tanpa seorang insan yang bergelar sahabat ini, hidup kita mungkin akan menjadi sunyi.

Sahabat yang baik bukan sahaja boleh membawa kegembiraan, hubungan yang dijalin bersama juga memainkan peranan yang penting terhadap kesihatan mental dan fizikal kita.

Malah, sahabat baik kita juga umpama cerminan diri kita sendiri. Walaupun kita dan sahabat kita merupakan dua insan yang berbeza, pasti terdapat banyak persamaan yang membolehkan kita saling sependapat.

Sahabat yang baik umpama penjual minyak wangi

Pasti ramai yang pernah mendengar mengenai hadis di bawah yang bermaksud:

“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.”

(Riwayat al-Bukhari, 5534 dan Muslim, 2628)

Berdasarkan hadis tersebut, kita dapat lihat bahawa Rasulullah SAW menyamakan sahabat yang baik dengan penjual minyak wangi. Jika kita pilih untuk duduk di kalangan orang yang berilmu dan beramal soleh, sedikit sebanyak akan ‘terpalit’ juga amalan baik mereka pada diri kita.

Sama jugalah jika kita pilih untuk bersahabat dengan mereka yang melakukan perkara yang mungkar. Walaupun kita mungkin tidak akan mengikut jejak langkah mereka, pandangan orang lain terhadap kita mungkin sudah berubah.

Selain itu, Imam al-Ghazali juga ada menggariskan beberapa ciri-ciri sahabat yang baik untuk panduan kita. Sebagai contoh, sahabat yang baik tidak akan sesekali meninggalkan kita dalam kesusahan jika kita meminta bantuan.

Malah, seorang sahabat yang baik juga akan bertindak melindungi diri kita jika kita pernah berbuat baik kepadanya. Pendek kata, sebuah persahabatan haruslah berlandaskan keikhlasan hati. Tanpanya, kita tidak akan dapat merasai manisnya sebuah persahabatan.

Cara terbaik untuk memupuk persahabatan

Memupuk ikatan persahabatan yang kukuh perlukan kesefahaman yang kuat antara satu sama lain. Kadangkala, andalah yang bertanggungjawab memberikan pertolongan kepada sahabat anda ketika dalam kesusahan, dan begitu jugalah sebaliknya.

Jika anda ingin memastikan persahabatan anda kekal lama, pastikan anda ikhlas dan sentiasa berbuat baik kepada sahabat anda. Selain itu, cuba jadi seorang peneman yang setia.

Pastikan sahabat anda tahu anda memasang telinga dan mendengar setiap curahan hati daripadanya. Untuk merapatkan lagi hubungan anda berdua, jangan malu untuk ‘open up’ dan berkongsi pula mengenai masalah anda.

Akhir sekali, jangan lupa untuk mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat untuk sahabat yang kita sayangi. Sematkanlah namanya di dalam doa anda. Mana tahu, mereka juga mungkin sedang melakukan perkara yang sama.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.