Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Bersedekah yang menyelamatkan

Amal 05 Jan 2021
Hagnas
Bersedekah yang menyelamatkan
Bersedekah yang menyelamatkan © Heru Anggara | Dreamstime.com

Kita semua mengimpikan kehidupan yang selamat, tenang dan aman bukan sahaja di dunia malah di akhirat sana. Tahukah anda bahawa dengan bersedekah hidup kita akan selamat?

Apakah maksud sedekah?

Maksud sedekah dari sudut istilah ialah ‘benar’ (membenarkan sesuatu) dan dari sudut syarak pula ialah  ‘pemberian sesuatu kepada yang memerlukan bertujuan mendekatkanku diri kepada Allah SWT’.

Bersedekah luas maksudnya. Senyum itu sedekah, perkataan yang baik juga sedekah. Memberi nafkah, membayar zakat, infak, atau membuang halangan di jalan seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya:

“Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap hari matahari terbit ada orang mengadili dua orang adalah sedekah. Membantu orang dengan mengangkat barang ke atas binatang tunggangan adalah sedekah. Satu kalimah yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu berbahaya di jalanan adalah sedekah.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Tidak miskin dengan sedekah

Bersedekahlah mengikut kemampuan masing-masing. Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.”

(Hadis riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

Jika kita lihat  penanam sayur, benih yang ditanam di atas batas akan tumbuh berkelompok. Sebahagian anak pokok perlu dipindahkan ke tempat lain. Terlalu banyak anak pokok pada satu batas boleh mengganggu proses mendapatkan nutrisi kerana terpaksa bersaing untuk membesar.

Oleh itu, sebahagian anak pokok perlu dipindahkan ke tempat lain untuk memberi peluang pokok-pokok tadi membesar dengan subur. Begitu juga harta ini perlu dibersihkan dengan zakat dan sedekah. Jadi, sedekah ini tidak menyebabkan harta kita berkurang.

Selamat daripada azab

Dengan bersedekah, kita akan selamat daripada azab api neraka. Dari ‘Adi bin Hatim r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera).”

(Hadis riwayat Muslim, nombor 972 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim)

Sedekah juga boleh menyelamatkan kita daripada azab kubur. Rasulullah SAW bersabda:

“Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur.”

(Hadis riwayat ath-Thabrani)

Marilah kita berusaha bersedekah dalam kapasiti kita.  Jangan menunggu kita kaya baru ingin mula bersedekah. Pujuklah hati untuk memberi ketika diri belum memiliki.