Bersediakah anda menghadapi Hari Akhirat?

Islam Hanita Hassan
Pendapat oleh Hanita Hassan
Bersediakah anda menghadapi Hari Akhirat?
Bersediakah anda menghadapi Hari Akhirat? © Muhammad Annurmal | Dreamstime.com

Dalam kesibukan menjalani kehidupan seharian, kita kerap terlalu fokus pada tugas yang harus diselesaikan setiap hari. Akibatnya adalah kelalaian mempersiapkan diri untuk kehidupan yang kekal abadi.

Oleh itu, ingati diri sendiri bahawa kehidupan yang kita jalani ini bersifat sementara dan tidak ada apa yang kekal selamanya.

Bersediakah anda menghadapi Hari Akhirat?

Baik pekerjaan, kekayaan, keluarga mahupun rakan – tidak  ada apa  yang dapat menemani kita semasa meninggalkan dunia ini. Kita hendaklah berusaha sehabis baik menginsafi diri tentang kemunculan hari Akhirat dan melakukan amal sebanyak mungkin untuk berjaya.

Dalam mempersiapkan diri untuk kehidupan abadi yang akan dinilai berdasarkan perbuatan kita, maka janganlah bertangguh dalam memaafkan orang. Apabila kita berada dalam situasi di mana, walau apa pun alasannya, kita hendaklah memaafkan seseorang, dan jangan bertangguh melakukannya.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”

(Surah al-Hujuraat, ayat 10)

Selain itu kita juga hendaklah berusaha untuk mengeratkan hubungan yang ada dengan orang sekeliling dan menunjukkan penghargaan kepada mereka atas apa yang mereka lakukan kepada kita. Kita tidak boleh mengambil kesempatan terhadap kebaikan mereka, dan seharusnya memperlakukan mereka dengan cara yang baik.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan nescaya dia beroleh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.”

(Hadis riwayat Muslim)

Kita juga perlu berusaha sedaya upaya untuk melakukan amalan sedekah, kerana ia tidak akan merugikan. Tidak kira berapa kecil pun jumlahnya, ia masih dapat membantu mereka yang memerlukan, dan sesungguhnya Allah SWT melihat semua usaha yang kita lakukan.

Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya

Daripada Umar r.a menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Dan sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 2442, 6901 dan Muslim, 2580)

Seterusnya kita perlu merenung diri tentang keikhlasan semasa menunaikan solat dan berusaha untuk meningkatkan daya tumpuan. Kita juga hendaklah mengelakkan diri daripada terganggu oleh pemikiran semasa sedang bersolat, dan menginsafi tentang kepentingan menunaikan solat.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Antara iman dan ketidakpercayaan adalah meninggalkan solat.”

(Hadis riwayat Muslim)

Akhir sekali, kita boleh memotivasikan diri  dengan menunaikan solat Tahajjud (solat malam) dan dengan tulus meminta  kepada Allah SWT hajat kita. Kita hendaklah meminta pengampunan dan bimbingan, serta meminta-Nya untuk membantu meningkatkan keimanan diri.

Sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu: mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”

(Surah al-Israa’, ayat 79)