Bersediakah Kita Untuk Mengucapkan Selamat Tinggal Kepada Ramadan?

Sahsiah Nor Syariza Tahir 30-Mei-2019

Ramadan semakin hampir meninggalkan kita dengan pantas sekali.

Dengan tempoh kurang dari seminggu, bulan Syawal akan menjelma, yang disebut sebagai hari kemenangan bagi umat Islam yang telah mengharungi dugaan Ramadan selama sebulan.

Dalam keterujaan kita menyambut Aidilfitri, pasti ada terselit rasa sedih dalam diri kerana bulan yang penuh dengan keberkatan dan ganjaran pahala ini akan berlalu, dan hanya akan kembali dalam tempoh setahun akan datang.

Pernahkah kita terfikir, adakah kita akan diberi kesempatan hidup selama itu lagi di bumi Allah ini? Sempatkah kita bersua lagi dengan Ramadan pada tahun depan?

Tiada sesiapa pun yang mampu menjawab persoalan ini kerana sebagai manusia, kita tidak tahu bilakah ajal akan datang menjemput kita.

Justeru, kita seharusnya menjalani ibadah pada setiap Ramadan seolah-olah seperti itulah Ramadan terakhir buat kita.

 

Golongan Yang Rugi Ketika Ramadan

Marilah kita sama-sama bertanya kepada diri sendiri. Cukupkah amal ibadat yang kita lakukan setakat ini? Adakah kita menyempurnakan apa yang wajib, dan meningkatkan ketaatan kepada-Nya dengan melakukan yang sunat?

Rasulullah S.A.W. bersabda: “Sesiapa sempat bertemu Ramadan dan tidak diampunkan dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah.” (HR Ibn Hibban).

Disebabkan itulah, Ramadan merupakan suatu bulan untuk memohon keampunan kepada Allah S.W.T.

Kita diseru untuk memperbanyakkan ibadah solat sunat taubat, solat tahajjud serta solat-solat sunat yang lain dengan harapan agar Allah mengampunkan dosa-dosa yang pernah kita lakukan.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Betapa banyak orang yang berpuasa, namun tidak mendapatkan apa-apa selain lapar, dan berapa banyak orang solat di tengah malam tidak mendapatkan apa-apa selain berjaga malam” (HR Nasa’i)

Ayat ini memberi maksud bahawa amatlah rugi bagi golongan yang hanya berpuasa yakni menahan lapar dan dahaga semata-mata, namun tidak melakukan amal ibadat dengan bersungguh-sungguh kepada Allah.

Apa yang mereka peroleh, hanyalah rasa lapar dan dahaga yang sia-sia.

Begitu juga dengan golongan yang berjaga tengah malam untuk melakukan solat sunat, namun tidak dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mendapat keampunan dan keredhaan daripada Allah. Apa yang mereka dapat, hanyalah rasa mengantuk kerana berjaga pada sebelah malam.

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan seperti ini.

Doa Perpisahan Ramadan

Nabi Muhammad S.A.W. ada mengajar para pengikutnya mengenai adab meninggalkan bulan Ramadan, iaitu dengan cara membaca doa perpisahan.

Daripada Jabir bin Abdillah r.a. daripada Muhammad al Mustafa S.A.W., Baginda bersabda: “Siapa yang membaca doa ini di malam terakhir Ramadan, dia akan mendapatkan salah satu daripada dua kebaikan; menjumpai Ramadan mendatang atau pengampunan dan rahmat Allah.”

“Ya Allah! Janganlah Dikau jadikan puasa kali ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku. Seandainya Dikau menetetapkan sebaliknya, maka jadikanlah puasaku ini sebagai puasa yang dirahmati bukan yang sia-sia.”

Kita digalakkan untuk memperbanyakkan doa meminta agar Allah S.W.T. menerima ibadah-ibadah yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan.

 

Kekal Istiqamah

Namun, perkara paling penting yang perlu diberi perhatian adalah, kekal istiqamah.

Ada orang yang hanya meningkatkan keimanan ketika bulan Ramadan sahaja, namun kembali lalai dan melakukan kemungkaran pada hari-hari berikutnya.

Keadaan ini hendaklah dielakkan sama sekali kerana amat rugi jika kita tidak dapat meneruskan ibadah-ibadah sunat yang telah pun menjadi kebiasaan kepada kita dalam tempoh sebulan ini.

Jika tidak sempat berkhatam al-Quran dalam tempoh sebulan ini, teruskan membaca sehingga khatam, dan bacalah berulang kali beserta dengan terjemahannya.

Jika dibiasakan solat tahajjud pada bulan Ramadan, teruskanlah ibadah itu pada bulan-bulan biasa, meskipun hanyalah sekali dalam seminggu.

Percayalah, amalan-amalan yang menjadi kebiasaan ini jika diteruskan akan menjadi suatu perkara yang pasti ingin kita lakukan, dan dipertingkatkan kekerapannya saban hari.

Justeru, sudah bersediakah kita untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Ramadan?

Sudah cukupkah amalan kita pada sepanjang bulan ini? Jika tidak, kita masih mempunyai kesempatan untuk merebut ganjaran bulan yang penuh keberkatan ini dalam tempoh kurang dari seminggu sahaja lagi.

Siapa tahu, kita akan bertemu dengan Lailatul Qadar.

Foto: Adli Wahid, Pogung Dalangan, T Foz, Matin Firouzabadi (Unsplash)