Bersegera membuat kebaikan

Kepercayaan Hanita Hassan 28-Apr-2020
Kakak menolong adik © Nanausop | Dreamstime.com

Islam menganjurkan kebaikan dan segala bentuk amalan baik. Islam juga menggesa umatnya berlumba-lumba melakukan kebaikan selain mengajak orang lain ke arah kebaikan. Setiap perkara baik yang dilakukan dengan niat kerana Allah SWT akan memperolehi ganjaran yang cukup besar di sisi-Nya.

Rasulullah SAW menjelaskan usaha menyebar kebaikan menerusi sabdanya: “Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan, nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka.  Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan, nescaya dia beroleh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.”  (hadis riwayat Muslim)

Kebaikan dalam Islam mencakupi aspek ibadah dan kemasyarakatan iaitu ‘hablum min Allah’ (hubungan dengan Allah) dan ‘hablum minan-Nas’ (hubungan sesama manusia). Beriman kepada Allah SWT dan mentaati suruhan-Nya adalah satu kebaikan.  Niat ikhlas dan  beramal dengan ikhlas adalah satu kebaikan dan melakukan kebaikan sesama manusia juga satu kebaikan.

Sesungguhnya ikhlas itu letaknya di hati. Kata Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulum al-Din: “Setiap manusia akan binasa kecuali orang yang berilmu, dan orang yang berilmu akan binasa kecuali yang beramal dengan ilmunya, dan orang yang beramal juga binasa kecuali yang ikhlas dalam amalannya.”

Kita dilarang meremeh-remehkan amal kebaikan yang mungkin pada mata kasar ia amalan kecil. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Janganlah meremehkan kebaikan walaupun hanya berbicara kepada saudaramu dengan wajah yang tersenyum kepadanya. Amalan itu adalah sebahagian daripada kebajikan.” (HR Abu Dawud)

Dalam berbuat kebaikan, bersegeralah melakukannya iaitu semasa lapang sebelum sibuk, semasa sihat sebelum sakit, semasa hidup sebelum mati dan sebelum datangnya halangan di hadapan.

Kita selalu mendengar kata-kata semangat tentang kegagalan.  Jika kita gagal dalam perniagaan, kita perlu bangkit dan bangkit tidak kira berapa lama masa yang terpaksa diambil.  Ramai yang berjaya kerana percaya dengan pepatah itu. Sayangnya ada di antara kita tidak pernah berusaha untuk melakukan kebaikan walaupun percaya bahawa kematian itu pasti kerana kebahagiaan di akhirat bergantung kepada amalan baik  semasa di dunia.

Sepertimana firman Allah SWT: “…berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Sekiranya kita takut kepada Allah SWT, maka bersegeralah berbuat sesuatu kebaikan untuk menyelamatkan diri dan keluarga daripada bahan bakar api neraka.  Kita tingkatkan ketakwaan untuk mendapat reda Allah SWT.  Semoga pengakhiran hidup kita di dunia ini dalam husnul khatimah (pengakhiran yang baik).