Bersegera menunaikan zakat fitrah

Agama Hanita Hassan 22-Mei-2020
Bayar zakat fitrah menjelang Aidilfitri © Bagus Satriya | Dreamstime.com

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardukan ke atas setiap orang Islam, lelaki dan perempuan yang berkemampuan. Kewajipan berzakat fitrah di bulan Ramadan ini bertujuan membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia.   Bayaran fitrah tersebut digunakan untuk membantu fakir dan miskin membuat persiapan menyambut Hari Raya.

Syarat zakat fitrah ialah individu yang mempunyai harta yang lebih daripada keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya. Ini termasuk anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.  Juga bagi yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadan dan berkekalan Islam dan seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan.

Waktu menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada lima. Waktu wajib adalah apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadan sehingga terbit matahari esoknya. Waktu paling afdal ialah sebelum sembahyang Hari Raya.  Manakala waktu sunat ialah sepanjang bulan Ramadan.

Waktu makruh ialah selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.  Waktu haram ialah selepas terbenam matahari pada satu Syawal. Hukumnya berdosa tetapi wajib ditunaikan segera zakat fitrah.  Pada waktu itu ia dikira qada. Sekiranya masih dilengahkan, maka akan bertambahlah dosanya.

Pada zaman Rasulullah SAW, pernah seorang sahabat baginda Usman r.a. lupa membayar zakat fitrah hingga usai solat Aidilfitri.  Apabila teringat, segera beliau pulang dan mengambil seekor unta yang paling bagus miliknya dan dijualnya.  Kemudian wang hasil penjualan unta tersebut digunakan untuk memerdekakan seorang budak.

Setelah itu beliau mengadap Rasulullah SAW dan berkata: “Ya Rasulullah SAW, bahawasanya saya telah lupa membayar zakat fitrah, namun saya telah menjual seekor unta yang paling bagus milik saya dan saya gunakan untuk memerdekakan seorang budak.  Apakah itu setara nilainya dengan zakat fitrah yang lupa saya bayarkan?”

Dan di hadapan para sahabat, Rasulullah SAW menjawab: “Sangat rugi bagi siapa pun yang tidak membayar zakat fitrah kerana pahala zakat fitrah itu sangatlah tidak terhingga.  Jangankan memerdekakan seorang budak, memerdekakan 100 orang budak pun tidak akan dapat menyamai pahala zakat fitrah.”

Daripada Ibn ‘Abbas r.a. berkata: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa daripada perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk serta untuk menjadi makanan kepada orang-orang miskin. Oleh sebab itu, sesiapa yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka jadilah ia zakat fitrah yang diterima. Sesiapa yang menunaikannya sesudah solat hari raya maka jadilah ia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain.” (Hadis riwayat Abu Daud, No.1609, Ibn Majah, No. 1827, al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, No. 7513, al-Daruqutni dalam sunannya, No. 2042)

Sesungguhnya banyak hikmah di sebalik kewajipan berzakat.  Ia mampu memperbaik kedudukan masyarakat dari sudut moral dan harta benda, juga menyatukan anggota masyarakat sehingga menjadi seolah-olah satu tubuh.

Dalam masa yang sama, zakat dapat membersihkan jiwa dari sifat kedekut dan bakhil.  Zakat juga sebagai benteng keamanan dalam sistem ekonomi Islam serta jaminan ke arah kestabilan dan kesinambungannya.  Selamat menunaikan zakat.