Bersyukurlah dan jangan terlalu berharap!

Psikologi 24 Feb 2021 Hanita Hassan
Pendapat
Bersyukurlah dan jangan terlalu berharap!
Bersyukurlah dan jangan terlalu berharap! © Ruslee Yaena | Dreamstime.com

Harapan pada akhirnya membawa kita sama ada gembira atau kecewa dengan hasilnya. Kedua-duanya adalah tidak mustahil atau kita mungkin tidak  memahami apa yang kita rasa.

Justeru, membina mentaliti yang mendidik diri agar tidak meletakkan pengharapan boleh membawa kebaikan kepada kita.

Bersyukurlah dan jangan terlalu  berharap

Apabila sesuatu yang buruk berlaku dan kita tidak meletakkan pengharapan, sudah pasti kita tidak berasa terjejas. Sebaliknya, apabila sesuatu yang baik berlaku, kita akan terkejut dan lebih bersyukur ke hadrat Allah SWT atas ketetapan-Nya.

Daripada Shuhaib r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

(Hadis riwayat Muslim, 2999)

Apabila kita terlalu berharap akan memperoleh banyak kekayaan dan kemewahan, kita akan berasa kecewa jika ia tidak berlaku. Kita terpengaruh dengan persekitaran  bahawa bekerja keras  akan memperolehi banyak wang dan  meningkatkan kekayaan.

Sebaliknya, berhati-hati terhadap cara pemikiran yang sudah menjangka apa yang bakal berlaku seolah-oleh kita mengetahui tentang masa hadapan. Kekayaan dan apa yang kita miliki sudah ditetapkan oleh Allah SWT. Dia yang mengurniakan kita dengan nikmat kehidupan.

Oleh itu, kita tidak boleh membiarkan diri  berfikir bahawa semua yang kita miliki adalah hasil kerja keras. Kita telah ditetapkan hanya memiliki apa yang Allah SWT telah tetapkan untuk kita dan apa yang Allah tidak tetapkan untuk kita, tidak akan kita miliki.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

“Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran.”

(Surah al-Qamar, ayat 49)

Allah sahaja mengetahui apa yang terbaik untuk kita

Walaupun berkaitan dengan jangka masa dalam kehidupan, kita juga mungkin membayangkan tentang bagaimana sebenarnya kita berfikir segala sesuatu akan berjalan lancar.  Memahami bahawa jika terlalu berharap boleh merosakkan fikiran kerana sebenarnya, kita tidak tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan.

Kita tidak tahu pada usia berapakah yang terbaik untuk menamatkan universiti. Kita juga tidak tahu dengan pasti pada usia berapakah yang terbaik untuk kita berkahwin. Sesungguhnya Allah SWT mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Kita hendaklah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kekuasaan dan pengetahuan Allah Taala. Maknanya, menerima bahawa hanya Allah sahaja yang mengetahui apa yang benar-benar terbaik untuk kita.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.”

(Surah al-Anfaal, ayat 30)

Semakin kita terbiasa untuk tidak meletakkan harapan, semakin kita akan berasa positif ketika dilimpahi sesuatu nikmat. Contohnya, apabila kita lulus dari universiti atau berkahwin, tanpa mengira usia atau reaksi orang lain, kita  bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Kita memahami bahawa ia adalah kurniaan Allah SWT.  Terlalu meletak pengharapan akan menyebabkan kita lupa akan nikmat yang diberikan Allah SWT.