Bertawakallah kepada Allah SWT!

Islam untuk Pemula Hannan
Pendapat oleh Hannan
Bertawakallah kepada Allah SWT!
Bertawakallah kepada Allah SWT! © dotshock | Dreamstime.com

Bertawakal kepada Allah SWT merupakan sebaris ayat yang selalu kita dengar sebagai nasihat, lebih-lebih lagi ketika ditimpa sebarang musibah. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, tawakal bermaksud berserah kepada Tuhan dan percaya kepadaNya setelah berikhtiar.

Allah Taala berfirman di dalam surah Al-Imran yang bermaksud:

“Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal (menyerah diri).”

(Surah Al-Imran, ayat 122)

Sebagai manusia, kita haruslah bertawakal kepada Allah SWT di dalam kehidupan seharian. Malah, banyak perkara yang kita lakukan saban hari seperti bekerja, belajar dan sebagainya memerlukan kita untuk sentiasa berharap dan berdoa kepada-Nya.

Walau bagaimanapun, tawakal tidak boleh didahului tanpa sebarang usaha atau ikhtiar. Jika tidak, semuanya akan jadi sia-sia.

Jangan hanya bertawakal semata-mata

Mereka yang hanya bertawakal kepada Allah SWT tanpa sebarang usaha ini laksana layang-layang melawan angin, tidak mungkin ia boleh terbang.

Sebagai contoh, jika kita ingin mendapatkan markah yang baik di dalam peperiksaan, kita haruslah belajar dengan bersungguh-sungguh. Tidak boleh main redah sahaja dan ‘bertawakal’ semasa menjawab peperiksaan.

Bahkan, saya sendiri sudah beberapa kali berdepan dengan situasi di mana pelajar bertindak ‘menyerah diri’ dan ‘bertawakal’ semasa menjawab peperiksaan. Malah, ada yang sanggup menulis nota pada akhir kertas peperiksaan untuk meminta belas kasihan pemeriksa!

Tanpa usaha, kita tidak dapat bergerak dari takuk yang lama. Walau bagaimanapun, dengan usaha, doa dan tawakal, Insya-Allah kita akan berjaya.

Semua ini juga bertepatan dengan firman Allah Taala di dalam surah Al-Talaq yang bermaksud:

“Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”

(Surah Al-Talaq, ayat 3)

Malah, orang yang bertawakal juga akan mendapat balasan pahala yang setimpal dengannya seperti amalan-amalan yang lain. Jika kita bertawakal kepada Allah SWT, nescaya Allah akan memberikan jalan keluar dan kejayaan untuk kita.

Maksud sebenar kejayaan

Apakah maksud sebenar kejayaan untuk kita? Adakah kita ingin menjadi seorang yang berkerjaya atau kaya raya? Adakah kita ingin menjadi seorang yang terpelajar barulah dikira berjaya di dalam hidup?

Setiap orang mempunyai definisi kejayaan yang berbeza. Walau bagaimanapun, semua kejayaan ini hanyalah satu angan-angan jika tiada usaha yang dibangunkan di sebaliknya. Malah, konsep tawakal sendiri tidak lengkap tanpa sebarang usaha.

Sebenarnya, bukan mudah untuk menjadi seorang yang berjaya. Walau bagaimanapun, ada beberapa langkah yang boleh kita ambil untuk menjadi seorang manusia yang berjaya.

Pertama sekali, kita haruslah mempunyai pemikiran seperti orang yang berjaya. Orang yang berjaya tidak takut untuk gagal. Malah, mereka juga sanggup belajar dan mencuba lagi.

Mereka yang mempunyai keyakinan seperti ini dilihat lebih mudah untuk berjaya. Mereka juga sentiasa mencari jalan untuk mengasah kemampuan diri masing-masing sebagai salah satu cara untuk mereka berjaya pada masa hadapan.

Selain itu, belajar untuk hidup secara seimbang. Pastikan anda mempunyai masa yang cukup bersama ahli keluarga dan sahabat handai. Berikan juga diri anda masa untuk mengabdikan diri kepada Allah Taala.

Dengan cara ini, Insya-Allah, setiap impian yang anda inginkan mampu menjadi kenyataan. Pastikan anda berusaha, berdoa dan kemudian bertawakallah kepada Allah SWT!