Bijak memilih suri teladan anda

Budaya Hafiz Firdaus 30-Apr-2020
Muhammad SAW, suri teladan semua © Berkay | Dreamstime.com

Sebagai seorang Muslim, kita mesti berhati-hati apabila memilih suri teladan (role model) yang disukai atau dihormati. Kita sebenarnya tidak akan berjaya dalam dunia dan akhirat apabila selalu menghabiskan masa dan terlalu mengikuti, membaca atau terpengaruh dengan mereka yang tidak terpuji peribadinya atau tidak dipuji oleh agama kita.

Tumpuan sepatutnya diberikan kepada para suri teladan dalam tradisi agama Islam. Contoh utamanya ialah Nabi Muhammad SAW. Allah berfirman dalam Al-Quran, surah Al-Imraan (3), ayat 31: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Dengan mengikuti pedoman dan panduan Nabi Muhammad yang kita sayangi, kita sebenarnya menunjukkan rasa kasih kita kepada Allah SWT. Dengan melakukan ini, Allah akan mengampuni dosa-dosa kita. Oleh itu, daripada berlebih-lebihan mencari suri teladan dalam kalangan masyarakat yang mungkin terkenal atau berwibawa, adalah lebih baik kita lihat kepada suri teladan dalam tradisi Islam.

Sebaiknya kita berhati-hati dengan siapa yang kita pilih sebagai suri teladan pilihan. Eloklah kita fikirkan, adakah kita menghabiskan terlalu banyak masa untuk membaca, menonton, mengambil berat, menumpu perhatian dan memandang tinggi seseorang yang tidak akan membantu dalam memperbaiki diri kita sebagai seorang yang beriman.

Allah berfirman dalam Al-Quran, surah Al-Furqaan (25), ayat 27: “Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?”

Renungkan ayat ini kerana ada banyak perkara yang dapat dipelajari daripadanya. Allah SWT mengingatkan kita bahawa orang-orang yang telah melakukan kesalahan akan berkata, alangkah baiknya mereka mengikuti jalan Nabi Muhammad SAW. Kita mesti bekerja keras dalam hidup ini dan berusaha memastikan yang kita tidak akan menjadi salah seorang daripada golongan yang salah. Kita perlu ikhlas memandang Nabi Muhammad sebagai suri teladan kita dan mengikuti contohnya.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa orang-orang bersalah akan mengatakan pada hari itu, bahawa mereka menyesal kerana telah memilih suri teladan yang telah menyesatkan mereka. Maka, ini adalah peringatan penting bagi kita semua supaya lebih berhati-hati dengan siapa yang kita pilih untuk diteladani.