Bijak mengurus dan membahagi masa

Kehidupan Hanita Hassan 14-Okt-2020
dreamstime_s_28676185
Bijak mengurus dan membahagi masa © Andreykuzmin | Dreamstime.com

Setiap daripada kita diberi peruntukan masa oleh Allah SWT sebanyak 24 jam sehari. Bagaimana bijaknya kita mengurus masa, begitulah tersusunnya kehidupan kita. Beruntunglah kepada anda yang boleh mengurus masa dengan baik.

Sebaiknya masa digunakan untuk mencari reda Allah SWT. Menjadi hamba yang bertanggungjawab melaksana suruhan-Nya. Di samping itu, masa untuk ibu bapa dan adik-beradik, sahabat handai serta masyarakat sekeliling dan diri sendiri.

Pembahagian masa dalam sehari

Sekiranya kita mengira masa beribadat kepada Allah SWT berdasarkan kepada ibadat solat yang wajib dilaksana setiap hari, kita hanya memperuntuk tidak lebih satu jam sehari untuk Allah SWT. Selebihnya iaitu 23 jam lagi adalah untuk urusan diri sendiri.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:

“Katakanlah:  Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaanmu dan tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya (Allah), maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya).  Dan Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada orang yang fasik.”

(Surah at-Taubah, ayat 24)

Manusia adalah khalifah yang dijadikan Allah SWT di muka bumi ini untuk beribadat kepada Allah sepertimana yang terkandung dalam surah ad-Dhariyat, ayat 56. Setiap perlakuan, pekerjaan yang dilakukan atau apa-apa jua bidang yang kita ceburi di dunia ini, hendaklah bersandar kepada niat untuk beribadat kepada Allah SWT.

Sebagai khalifah, kita perlu bertanggungjawab melaksana syariat Islam secara menyeluruh bukan sahaja kepada diri kita tetapi juga keluarga, masyarakat, negara bahkan seluruh pelosok bumi.

Sekiranya kita telah berkeluarga, kita adalah khalifah dalam rumah tangga dan seharusnya mentadbir menurut syariat Allah.  Pendidikan, cara hidup anak dan isteri perlu dipimpin berdasar kepada hukum bukan mengikut peraturan ciptaan manusia.

Walau bagaimanapun, dengan cabaran yang begitu hebat dalam mempersiap kehidupan duniawi, ramai yang telah semakin jauh. Jauh dari peranan sebenar sebagai khalifah dan tidak membahagi masa dengan sempurna.

Membahagi masa – kesibukan dan tanggungjawab

Kesibukan tugas di pejabat boleh menyebabkan kita sering melewatkan solat. Apatah lagi amalan-amalan sunat lain seperti solat di sepertiga malam, bersedekah dan sebagainya.

Kita terlupa bahawa keluarga juga adalah tanggungjawab dan amanah Allah SWT yang perlu ditunaikan. Kesibukan di pejabat siang dan malam sehingga kita tidak sempat bertanya khabar tentang anak-anak.

Adakah anak-anak sudah pandai mengaji dan solat atau bagaimana pelajaran mereka. Akhirnya semua tugas itu diserah bulat-bulat kepada isteri yang menjadi pengurus rumah sepenuh masa.

Kita juga terlupa bahawa selain tanggungjawab sebagai ketua keluarga, kita juga perlu memainkan peranan yang lain. Ini termasuk sebagai anak kepada ibu bapa yang semakin meningkat tua, juga abang atau adik kepada adik-beradik kita. Janganlah jadi sehingga kehidupan dan masa yang diperuntuk setiap hari adalah untuk dunia kita sahaja.

Tidak kurang juga yang dalam kesibukan bekerja, waktu hujung minggu dihabiskan dengan rakan. Seperti bersosial menunggang motosikal berkuasa besar atau berbasikal atau memancing di tengah laut. Semua ini menjadikan kehidupan semakin tidak terurus walau hakikatnya pada kita, ia sudah diurus dengan baik.

Sesungguhnya keberkatan waktu itu penting kerana dalam kesibukan kita mengurus hal-hal duniawi, kita juga perlu punya waktu khusus untuk beribadat kepada Allah SWT. Justeru jaga solat tepat waktu dan urusan kita akan dipermudahkan Allah SWT.