Bijak seperti Luqman

Agama Hanita Hassan 15-Jul-2020
Kisah Luqman dalam al-Quran © Hayati Kayhan | Dreamstime.com

Luqman al-Hakim merupakan nama yang disebut di dalam al-Quran yang terkenal dengan nasihat-nasihat kepada anaknya sehingga Allah SWT turunkan satu surah yang dikenali dengan Surah Luqman.

Ibn Kathir r.a dalam tafsirnya mencatat bahawa nama sebenar Luqman al-Hakim ialah Luqman ibn Anqa ibn Sadun atau dikatakan juga Luqman ibn Tharan.  Beliau adalah daripada penduduk Aylah (Jerusalem). Dikatakan seorang kadi pada zaman Nabi Daud a.s. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah 3/6)

Beberapa ulama mengatakan namanya ialah Luqman bin Ba’ura bin Nahur bin Tarih (Muhammad bin Ishak) atau Luqman bin Anqa bin Sarun dan berasal dari Aylah (Al-Suhaili).

Al-Zamakhsyari menyatakan Luqman ialah Luqman bin Ba’ura bin Ukhti Ayyub atau Ibn Khalatih. Beliau dikatakan hidup 1000 tahun dan sempat bertemu dengan Nabi Daud a.s serta mengambil ilmu daripadanya. Al-Waqidi pula menyatakan Luqman seorang kadi daripada Bani Israel.

Tidak kurang yang mengatakan bahawa Luqman berasal dari Sudan atau Mesir atau dari Habsyah (Ethiopia). Ada juga yang mengatakan beliau seorang hamba, tukang kayu, penjahit pakaian, pemungut kayu api atau penternak.

Sepakat para ulama bahawa Luqman al-Hakim seorang hamba yang soleh.  Dikatakan Luqman orangnya berkulit hitam, berbibir tebal dan dikurniakan Allah SWT dengan kebijaksanaan tidak kenabian. Dikatakan juga beliau seorang hamba sahaya dari Habsyah dan seorang tukang kayu. Orangnya pendek, hidungnya pesek dan berasal dari Naubah.

Beberapa nasihat Luqman selain yang disebut di dalam Surah Luqman dikongsi sebagai panduan dalam kita melayari kehidupan yang mencabar ini.

  • Wahai anakku! Sebenarnya dunia ini ibarat lautan yang dalam.  Sudah ramai manusia yang tenggelam di dalamnya.  Oleh itu, jadikanlah perahumu di dunia dengan pakaian bertakwa kepada Allah SWT, penumpangnya adalah keimanan dan layarnya adalah tawakal kepada Allah.  Semoga kamu semua selamat.  Tetapi aku tidak yakin kamu akan selamat
  • Sesiapa yang dapat menasihati dirinya sendiri, pasti beliau akan mendapat pemerhatian daripada Allah SWT
  • Sesiapa yang dapat menyedarkan orang lain dengan dirinya sendiri, pasti Allah SWT akan menambah kemuliaannya kerana proses menyedarkan orang lain itu
  • Hina dalam rangka taat kepada Allah SWT lebih baik daripada membanggakan diri melakukan maksiat
  • Wahai anakku! Janganlah kamu bersikap terlalu manis kerana pasti engkau ditelan.  Jangan kamu bersikap terlalu pahit kerana engkau pasti akan dimuntahkan.
  • Hai anakku! Jika kamu hendak menjadikan seseorang itu sebagai teman maka hendaklah kamu membuat dia marah kepadamu terlebih dahulu.  Jika dia memaafkan ketika marah, maka bersaudaralah dengannya.  Jika dia tidak memaafkanmu, maka berhati-hati terhadap dirinya.

Petikan nasihat dari surah Luqman dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu diambil berat melakukannya.

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur dan membangga diri.

“Dan segerakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”  (Surah Luqman, ayat 17-19)

Semoga nasihat Luqman al-Hakim dapat dijadikan pengajaran dalam kita membina keluarga sakinah mawaddah warahmah.