Bila sesuai pisahkan bilik tidur anak lelaki dan perempuan?

Keluarga Md Wa'iz 06-Nov-2020
dreamstime_s_123492955
Bila sesuai pisahkan bilik tidur anak lelaki dan perempuan? © Odua | Dreamstime.com

Sebagai ibu bapa, anda perlu mendidik anak anda untuk menjaga adab dan tingkah laku mereka di rumah termasuklah sesama adik beradik. Begitu juga dengan kewajipan memisahkan bilik tidur antara anak lelaki dan anak perempuan anda.

Bilakah waktu yang sesuai untuk anda memisahkan tempat tidur mereka?

Pisahkan tempat tidur ketika berumur 10 tahun

Pemisahan tempat tidur antara anak lelaki dan juga anak perempuan mestilah dilakukan apabila mereka telah mencapai umur baligh.

Namun, adalah lebih baik jika anda mula melakukan pemisahan tempat tidur ini walaupun anak-anak anda masih belum baligh. Saranan ini bersesuaian dengan maksud hadis Nabi Muhammad SAW seperti berikut:

“Perintahkan anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur di antara mereka.”

(Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Alim ulama berpendapat bahawa adalah wajib bagi ibu bapa untuk memisahkan tempat tidur anak-anak. Usia yang sesuai ialah ketika mereka telah mencapai umur 10 tahun.

Hal ini  bukan hanya melibatkan pemisahan tempat tidur antara anak lelaki dan juga anak perempuan. Ia juga memisahkan tempat tidur anak yang masih lagi tidur sebilik bersama ibu bapa mereka.

Perlu dididik sejak mereka masih kecil

Walaupun hukum wajib itu jatuh ketika anak-anak telah berumur 10 tahun, anda mestilah mendidik mereka sejak mereka masih belum mencapai umur baligh. Didikan ini perlu dilakukan pada usia muda agar dapat dilakukan secara berperingkat bagi tujuan melatih mereka.

Selain itu, didikan secara berperingkat ini bertujuan untuk mengelakkan anak menjadi terkejut. Ini adalah agar mereka tidak mengalami kesan-kesan negatif daripada sudut emosi mereka.

Bagaimana jika rumah hanya mempunyai dua bilik?

Bagi rumah yang agak kecil dan hanya mempunyai dua buah bilik, satu bilik diberikan untuk kegunaan ibu bapa manakala satu bilik lagi diberikan kepada anak perempuan. Anak lelaki boleh diasingkan di ruangan lain di dalam rumah seperti di ruang tamu.

Keutamaan memberikan bilik kepada anak perempuan adalah bagi menjaga aurat mereka selain mengelakkan sebarang masalah yang akan timbul pada masa akan datang.

Untuk anak lelaki yang tidur di ruang tamu, seeloknya untuk ibu bapa menyediakan sedikit penghadang seperti meletakkan bidai atau almari bagi memberikan sedikit ruang peribadi kepada mereka.

Hikmah di sebalik suruhan ini

Antara hikmah tujuan pelaksanaan ini adalah untuk menjaga aurat sesama adik beradik dan juga sesama ahli keluarga terdekat yang lain. Selain itu, pemisahan bilik tidur ini juga bagi mengelakkan timbulnya nafsu syahwat walaupun antara adik beradik sendiri.

Kaedah ini telah menunjukkan bahawa ajaran Islam sangat mementingkan dan menjaga hubungan kekeluargaan. Ini termasuk memelihara kehormatan dan privasi seseorang individu tersebut.