Bilal bin Rabah, muazin pertama

Kepercayaan Hanita Hassan 19-Jun-2020
Menara azan tradisional © Abdel Rahman Hussein | Dreamstime.com

Bilal bin Rabah r.a. (580-640M) adalah antara sahabat terawal memeluk Islam.  Seorang yang sangat dipercayai serta setia, Bilal dilantik sebagai muazin pertama oleh Nabi Muhammad SAW.

Lahir di Mekah pada 5 Mac 580 Masihi bersamaan 1 Jamadil Awal 43 tahun sebelum hijrah. Bapanya Rabah adalah seorang hamba, begitu juga dengan ibunya, wanita berkulit hitam bernama Hamamah.

Bilal digelar Ibnus Sauda yang bermaksud ‘putera wanita hitam’. Beliau juga dilahirkan sebagai seorang hamba kepada keluarga Bani Abdul Dar. Terkenal kerana suara yang merdu, Bilal meninggal pada tahun 640 M bersamaan 2 Rabiul Awal 19 hijrah pada usianya 57 tahun.

Setelah ayahnya meninggal dunia, bilal diserahkan kepada tuan yang baharu iaitu Umaiyah bin Khalaf.  Walaupun Bilal seorang hamba yang kuat, rajin serta jujur dan mematuhi arahan tuannya, namun sebaik sahaja Umaiyah mendapat perkhabaran tentang hal pemelukan Islam oleh Bilal, sejak itu dia mula menyeksa Bilal tanpa belas kasihan.

Umaiyah berharap dengan seksaannya itu dapat mengembalikan Bilal ke agama asal mereka.  Namun, dengan kekuatan iman dalam diri Bilal, tidak sedetik pun dia tunduk atau patuh dengan kemahuan tuannya itu.  Hatinya telah diserikan dengan bunga-bunga iman.

Kuatnya iman Bilal terhadap Allah SWT dan Rasulnya Muhammad SAW sehingga menyebabkan dunia dan segala isinya sudah tidak bermakna lagi jika dibandingkan dengan nikmat Islam dan manisnya iman yang dikecapi dalam hatinya.

Bilal dipukul, kemudian diarak keliling Kota Mekah.   Bilal dijemur di atas padang pasir yang panas di bawah terik matahari, diseksa dan tidak diberikan makan minum. Bilal dipakaikan dengan baju besi dan dijemur di tengah panas.

Tubuh Bilal disebat dengan cemeti dan dadanya ditindih dengan batu besar. Pelbagai bentuk penyeksaan dan taktik dilakukan oleh Umaiyah.  Namun keimanan hambanya iaitu Bilal bin Rabah tidak pernah luntur, malah keimanannya bertambah kuat. Apabila Umaiyah memaksa Bilal menyebut nama tuhan mereka iaitu al-Atta dan al-Uzza, Bilal tetap dengan iman dan takwanya mempertahan dan menyebut kalimah “Allah, Allah, Allah, Ahad, Ahad, Ahad”.  Berita penyeksaan yang  kejam itu  diketahui oleh Abu Bakar as-Siddiq r.a.

Abu Bakar menemui Umaiyah untuk membeli dan menebus Bilal tanpa tawar menawar dengan harga 9 uqiyah emas.  Umaiyah berkata: jika Abu Bakar meminta untuk dikurangkan harga Bilal kepada satu uqiyah emas sekalipun dia sanggup menjualnya.  Abu Bakar berkata:  jika Umaiyah meletakkan harga Bilal sehingga 100 uqiyah emas pun dia sanggup membelinya.  Abu Bakar kemudian memerdekakan Bilal.

Daripada seorang hamba abdi, Bilal diangkat darjatnya di sisi Allah SWT.  Dia dilantik menjadi tukang azan Rasulullah SAW sehingga laungan azannya bergema lima kali sehari di seluruh penjuru Kota Mekah dan Madinah malah melepasi langit ketujuh lalu bergema di Arasyh Rabbul.  Beliau juga merupakan salah seorang pemegang kunci Baitullah (Kaabah).

Kewafatan Nabi Muhammad SAW memberi kesan mendalam kepada Bilal sehingga beliau tidak mampu lagi melaungkan azan kerana apabila tiba pada perkataan ‘Muhammad’, hatinya  sebak dan air matanya terus mengalir.

Justeru, marilah bersama kita tingkatkan keimanan, akidah dan keyakinan kepada Allah SWT.  Mudah-mudahan kita juga tergolong dalam kalangan para penghuni syurga sepertimana Bilal yang tapak kakinya sudah berada di syurga sewaktu di dunia lagi kerana sentiasa berwuduk dan tidak meninggalkan solat sunat wuduk sepanjang hidupnya.