Bimbang tentang masa hadapan

Iman Hanita Hassan 23-Okt-2020
dreamstime_s_142885501
Bimbang tentang masa hadapan © motortion | Dreamstime.com

Banyak pengalaman hidup yang membuatkan kita bimbang dan perasaan ini sukar disingkirkan. Kita sering bimbang tentang masa hadapan dan dosa silam. Sebagai umat Islam, kita perlu yakin dan beriman dengan  bertaubat kepada Allah serta kembali kepada ajaran agama bagi menangani masalah ini.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Mereka membuat rencana dan Allah jua membuat rencana,dan Allah jualah sebaik-baik perencana.”

(Surah al-Anfal, ayat 30)

Allah SWT melaksanakan semua urusan

Kita harus sedar bahawa Allah SWT menguasai akan segala sesuatu. Ia akan membuat kita berasa lebih tenang menghadapi setiap perkara dalam kehidupan. Misalnya kita sedang menunggu keputusan ujian hospital  atau ujian yang kita duduki. Walau apapun keputusannya, Allah Maha Mengetahui.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang maksudnya:

“Dan siapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan baginya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah menetapkan ketentuan segala sesuatu.”

(Surah ath-Thalaq, ayat 3)

Kita mesti berusaha menumpukan perhatian untuk hari ini daripada bimbangkan masa lampau atau masa hadapan. Ia akan membuat kita berasa kurang tertekan kerana lebih fokus pada apa yang sedang berlaku.

Sebagai contoh, jika kita di tempat kerja, kita harus berusaha menumpukan perhatian kepada apa yang berlaku  hari ini daripada bimbang apa yang bakal berlaku keesokkan hari. Hasilnya, kita akan berasa lebih puas dengan kemajuan tugas yang kita lakukan kerana kita  memberi perhatian sepenuhnya terhadap apa yang kita lakukan.

Kita juga harus ingat apakah gambaran yang lebih besar dan  perspektif yang betul mengenai kehidupan dan akhirat. Hidup ini tidak kekal dan akhirnya kita mencari kejayaan di akhirat jua. Semakin banyak kita memikirkan tentang hari akhirat, semakin kurang tekanan dan kebimbangan mengenai perkara-perkara duniawi.

Positif dan bersyukur dengan kurniaan Allah SWT

Kita perlu bersikap positif dan bersyukur dengan segala perkara yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Walaupun kita berasa bimbang, kita harus melihat apa yang kita miliki.

Ramai orang menginginkan semua keperluan yang kita miliki, seperti rumah, pekerjaan, makanan dan banyak perkara lain yang sering kita abaikan. Lebih banyak kita bersyukur atas perkara yang kita miliki yang tidak dimiliki oleh orang lain, maka kita akan berasa lebih tenang.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Allah itu Pelindung orang-orang yang beriman, mereka dikeluarkan-Nya dari kegelapan kepada cahaya terang.”

(Surah al-Baqarah, ayat 257)

Kita harus ingat bahawa Allah SWT akan memberi ganjaran bagi setiap usaha kita  untuk kekal positif serta sabar dan tidak berputus asa.  Segala ujian dalam kehidupan ini  telah ditakdirkan oleh-Nya.  Justeru kita mesti berusaha menjadi orang yang beriman. Kita mesti berusaha mengubah pandangan kita dan Allah pasti akan membantu.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.”

(Surah ar-Ra’d, ayat 11)