Bintang Lagenda P.Ramlee Kembali Ke Layar Perak

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke 62 tahun ini, TGV Cinemas membawa kembali lagenda filem Melayu, Tan Sri Datuk Amar Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh, atau lebih dikenali sebagai P. Ramlee ke layar perak menerusi kempen The Gemilang Vibes.

Sebanyak lima buah filem lakonan P.Ramlee akan ditayangkan di pawagam-pawagam TGV terpilih bermula 24 Ogos sehingga 16 September hadapan.

Filem-filem terbabit adalah Anakku Sazali, Nujum Pak Belalang, Labu-Labi, Ibu Mertuaku dan Madu Tiga.  Selain daripada itu, filem Paskal dan Adiwiraku turut terpilih menyertai kempen ini memandangkan kedua-duanya mendapat sambutan dan kritikan hebat daripada peminat filem tempatan.

“Kami gembira untuk bekerjasama dengan Shaw Brothers untuk membawakan beberapa filem P.Ramlee yang paling mengasyikkan ke skrin besar. Ia adalah satu peluang yang baik untuk memperkenalkan semula karya-karya seni  hebat ini kepada generasi muda dan tentu sahaja kepada semua peminat P.Ramlee seperti saya. Tayangan ini adalah sesuatu yang anda tidak akan terlepas,” ujar Pengurus Besar Operasi dan Pemasaran TGV, Kabir A. Sultan.

Sementara itu, ahli-ahli TGV MovieClub juga boleh merebut peluang memenangi hadiah-hadiah bernilai RM20,000 dan 450,000 MovieMoney menerusi peraduan Facebook Movie Club dan menebus minuman percuma di kaunter makanan TGV Cinemas sepanjang tempoh kempen ini.

Untuk maklumat lanjut tentang jadual tayangan filem dan promosi terkini anda boleh melayari www.tgv.com.my

Kredit foto : TGV Cinemas