BoBoiBoy Movie 2 Ditayangkan Serentak di 5 Buah Negara Pada 8 Ogos

Filem animasi adiwira kegemaran rakyat Malaysia, BoBoiBoy Movie 2 yang bakal menemui penonton bermula 8 Ogos ini akan ditayangkan serentak di 500 pawagam di 5 buah negara.

Bakal ditayangkan di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Vietnam, ramai yang menanti kemunculan filem ini, bukan sahaja di Malaysia, malahan di negara-negara Asia Tenggara yang lain.

“Sebagai penerbit, kami sangat gembira kerana ini merupakan kali pertama sebuah filem animasi Malaysia mendapat tayangan serentak di 5 buah negara.

“Sokongan daripada peminat-peminat antarabangsa sememangnya memberi semangat untuk kami melancarkan filem BoBoiBoy Movie 2 ke serata rantau ini,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abd Razak.

Ditanya mengenai cabaran dalam menghasilkan BoBoiBoy Movie 2, Nizam menjelaskan, cabaran yang dihadapi kru produksi adalah untuk menyiapkan filem tersebut dalam tempoh masa hanya 12 bulan.

“Berbeza dengan filem terdahulu, BoBoiBoy The Movie yang dikeluarkan pada tahun 2016, pihak produksi mengambil masa selama 2 setengah tahun untuk menyiapkannya.

“Berbeza pada kali ini, di mana kami perlu menyiapkannya dalam tempoh setahun sahaja.

“Namun, dengan menggunakan pelbagai teknologi yang lebih canggih untuk menghasilkan pelbagai kesan animasi dan simulasi beserta kepakaran pasukan kru produksi, BoBoiBoy Movie 2 berjaya disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan dengan hasil yang lebih menarik,” cerita Nizam.

Selain itu, menerusi BoBoiBoy Movie 2, buat julung kalinya juga Animonsta Studios bekerjasama dengan Astro Shaw.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Arshad berkata, pihaknya berbesar hati kerana Animonsta Studios meletakkan kepercayaan kepada Astro Shaw untuk menjalankan aktiviti pemasaran dan pengedaran filem animasi yang paling dinantikan untuk tahun 2019 itu.

“Astro telah merancang rangkaian promosi secara agresif dan menyeluruh menerusi aset dan platform yang bersesuaian.

“Dengan pengalaman serta medium yang kami ada, kami berharap filem ini mampu sampai ke kumpulan penonton yang disasarkan.

“Selain itu, kami merancang untuk membuat siri jelajah ke seluruh negara bagi membawa maskot BoBoiBoy dan kawan-kawan secara lebih dekat dengan para peminat,” ujarnya.

Idea untuk mengeluarkan BoBoiBoy Movie 2 terhasil selepas kejayaan BoBoiBoy The Movie yang merjaya meraih kutipan sebanyak RM18 juta.

Dengan kos keseluruhan filem kali ini sebanyak RM7 juta, Animonsta Studios menjanjikan kelainan dari segi kualiti animasi dan juga visual yang bermutu tinggi.

Selain itu, penyanyi terkenal yang sering terlibat dengan misi kemanusiaan dan program-program belia, Faizal Tahir turut dipilih untuk menyanyikan lagu tema BoBoiBoy Movie 2 yang berjudul ‘Fire & Water’.

Diterbitkan oleh Nizam dan Kee Yong Pin, BoBoiBoy Movie 2 mengisahkan tentang BoBoiBoy dan rakan-rakan yang diserang oleh Retak’ka, pengguna asal kuasa Elemental.

Retak’ka ingin merampas semula Kuasa Elemental daripada BoBoiBoy dan menggunakannya untuk menguasai galaksi.

BoBoiBoy dan rakan-rakan perlu mencari cara untuk menghentikan Retak’ka dan menyelamatkan galaksi daripada ancamannya.

Saksikan BoBoiBoy Movie 2 di pawagam berhampiran anda pada 8 Ogos 2019 ini, dan saksikan trailer filem ini di sini.

Foto: Astro Shaw & Animonsta Studios