‘Body Shaming’ Adalah Jenayah!

Mungkin ramai di antara kita yang masih tidak tahu bahawa perbuatan ‘body shaming’ atau mempersendakan bentuk tubuh fizikal seseorang adalah satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang Malaysia.

Perkara itu telah dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi hantaran terbaru di akaun media sosial rasmi mereka.

‘Body shaming’ telah diklasifikasikan sebagai jenayah buli siber dan mangsa yang terkena perbuatan ini boleh membuat laporan polis atau kepada SKMM.

Mengikut Seksyen 233 (1) (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) , jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Antara kesan-kesan buruk yang boleh terjadi kepada mangsa perbuatan tidak bermoral ini adalah, stress dan gangguan emosi, hilang keyakinan diri, kecelaruan pemakanan, kemurungan, dan kes bunuh diri.

Setiap tubuh manusia adalah berbeza-beza. Menghina fizikal orang lain sama seperti kita menghina ciptaan Allah SWT. Beringatlah sebelum kita mengeluarkan kata-kata biarpun niat kita hanya sekadar untuk bergurau.

 

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia