Bola sepak Piala Dunia 2014 dan pasukan Algeria berpuasa

Dunia Abi Aasim 04-Mei-2020
Algeria di kumpulan H © Wave Break Media Ltd | Dreamstime.com

Piala Dunia FIFA 2014 merupakan Piala Dunia FIFA yang ke-20, dan ia berlangsung di Brazil. Istimewanya, edisi Piala Dunia 2014 ini telah berlangsung di dalam bulan Ramadan. Terdapat ramai pemain bola sepak Muslim yang terlibat dalam edisi Piala Dunia tersebut, dan yang paling diingati tentulah pasukan Algeria.

Seramai 17 daripada 23 pemain muslim pasukan Algeria telah memilih untuk menunaikan ibadat puasa sewaktu kejohanan tersebut. Apa yang mengagumkan, pasukan Algeria berjaya mara sehingga ke peringkat kalah mati. Bukan mudah menyiapkan tahap mental dan fizikal yang terbaik ketika berpuasa, tetapi itulah yang berjaya dilakukan oleh para pemain pasukan Algeria.

Pasukan Algeria telah ditempatkan di dalam kumpulan H bersama-sama pasukan Belgium, Rusia dan Korea Selatan. Mereka telah layak ke pusingan berikutnya setelah menduduki tempat kedua kumpulan H, di belakang pasukan Belgium.

Pada peringkat kalah mati, mereka telah bertemu pasukan Jerman yang dibintangi oleh nama-nama besar seperti Mesut Ozil dan Philipp Lahm. Setelah berjaya mengheret pasukan Jerman ke masa tambahan, akhirnya pasukan Algeria tewas dengan jaringan gol, dua berbalas satu.

Antara pemain penting pasukan Algeria ketika itu ialah kapten, Madjid Bougherra, penyerang sensasi ketika itu Islam Slimani, Sofian Feghouli, Nabil Bentaleb, Yacine Brahimi, Faouzi Ghoulam dan juga penjaga gol, Rais M’Bolhi. Di dalam perlawanan menentang Jerman, Rais telah berjaya menahan asakan demi asakan daripada Jerman, dan memenangi anugerah pemain terbaik perlawanan kerana kecemerlangannya itu.

Banyak media barat mengatakan punca kekalahan pasukan Algeria adalah kerana mereka berpuasa. Namun menurut Rais, berpuasa bukanlah punca kekalahan mereka ketika itu. Tambahnya lagi, keadaaan fizikal mereka berada pada tahap terbaik walaupun mereka berpuasa. Bagi pemain-pemain yang berpuasa, mereka sekadar berbuka di tengah padang pada rehat pertama dengan memakan buah kurma, protein bar dan minuman tenaga.

Pencapaian pasukan bola sepak Algeria itu merupakan pencapaian terbaik mereka setakat ini di dalam edisi Piala Dunia. Bagi pasukan Jerman, mereka meneruskan kecemerlangan mereka sehingga memenangi perlawanan akhir Piala Dunia 2014. Kemenangan itu juga turut menjadikan Jerman pasukan pertama yang memenangi Piala Dunia di luar benua Eropah.

Sementara itu, prestasi pasukan Algeria pula agak kembali merosot selepas edisi Piala Dunia 2014. Walau bagaimanapun, mereka kembali bangkit dan berjaya meningkatkan prestasi. Mereka telah berjaya memenangi kejohanan Piala Negara-Negara Afrika pada tahun 2019.

Kisah pasukan Algeria yang berpuasa pada edisi Piala Dunia 2014 ini sememangnya berjaya memberikan inspirasi terutamanya kepada Muslim seluruh dunia, dan kepada pemain bola sepak beragama Islam khususnya.