Boleh solat jemaah di masjid/surau Zon Hijau khusus

Kehidupan Ahmad Mahmud 14-Mei-2020
Masjid Kampung Kling, Melaka dalam Zon Hijau © Xing Wang | Dreamstime.com

Mulai esok, masjid-masjid dan surau-surau terpilih telah dibenarkan untuk solat Jumaat dan solat berjemaah di Zon-zon Hijau COVID-19 terbabit. Selain daripada semua Wilayah Persekutuan, negeri-negeri terbabit ialah Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak di mana Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam. Namun, jumlah jemaah terhad kepada 3-30 orang sahaja.

Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, solat berjemaah itu termasuk solat tarawih dan Aidilfitri. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga telah merestui cadangan itu.

Keputusan ini telah dikaji oleh Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia. Ia juga sejajar dengan keputusan yang dibuat semasa pertemuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semasa bertemu Perdana Menteri pada 12 Mei.

Bagaimanapun, keputusan untuk mematuhi cadangan itu akan bergantung kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah kerana semua perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan agama berada di bawah bidang kuasa para Ketua Negeri.

Menyentuh tentang jumlah jemaah, ini masing-masing akan ditentukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), pihak berkuasa agama negeri dan jawatankuasa masjid di empat negeri terbabit bagi mengelakkan daripada kepadatan dan terlalu ramai jemaah berkumpul di masjid. Masjid dan surau juga harus memastikan bahawa polis dan pihak berkuasa agama negeri hadir untuk mengawal keadaan.

Zulkifli mengatakan, keputusan mengenai jumlah jemaah yang menunaikan solat Jumaat dibuat setelah mempertimbangkan pandangan Imam Ghazali dan ulama lain. Setakat ini, cukup bagi sekumpulan 20 hingga 40 jemaah untuk menunaikan solat Jumaat, dan hanya bagi lelaki sahaja.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan telah bersetuju untuk memberikan kerjasama sepenuhnya. Ahli jawatankuasa masjid dan surau mesti memastikan bahawa prosedur operasi standard (SOP) MKN dan Kementerian Kesihatan sentiasa dipatuhi sepenuhnya.