Boleh Warnakan Rambut, Tapi Ada Syaratnya

Selain daripada kulit berkedut, satu lagi ‘ketakutan’ golongan wanita ialah rambut yang mula bertukar putih. Ini bermakna hilang salah satu tarikan yang ada untuk dipertontonkan pada suami.

Ketika berhadapan dengan situasi ini, ramai yang mula berfikir atau memilih untuk mewarnakan rambut. Jadi apakah hukum mewarnakan rambut?

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dalam satu entri di lawan sesawangnya ada menghuraikan tentang hukum mewarnakan rambut dengan menterjemahkan fatwa Dr. Yusof al-Qardhawi mengenainya (Al-halal Wal haram Fil Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi, hal.89-09).

Mewarnakan rambut adalah sebahagian daripada perkara yang tergolong di dalam masalah perhiasan. Jelas entri terbabit, telah datang satu riwayat yang menjelaskan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani enggan mewarna rambut dan mengubahnya dengan beranggapan, antaranya ialah berhias dan memperelok diri itu dapat menghindarkan erti peribadatan dan beragama. Sebagaimana yang dilakukan oleh para rahib dan ahli-ahli zuhud yang bersikap berlebih-lebihan.

Bagaimanapun, Rasulullah S.A.W. melarang mengikut (taqlid) kepada suatu kaum dan mengikuti jejak langkah mereka, supaya umat Islam sentiasa mempunyai keperibadian yang berbeza, zahir dan batin.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Sesungguhnya orang-orang Yahudi tidak mahu mewarnakan rambut, oleh itu berbezalah kamu dengan mereka. (HR Bukhari).

Sabda Nabi SAW lagi: “Warnakanlah rambut kamu semua dengan inai. Sesungguhnya perbuatan itu akan menyebabkan kamu semua kelihatan lebih muda dan bergaya ketika hendak melangsungkan perkahwinan.” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan sabda-sabda di atas, ini bermakna sama ada wanita mahupun lelaki, adalah dibolehkan mewarnakan rambut. Namun ada syarat yang perlu dipatuhi.

1) Wanita perlu mendapat keizinan suami. Bagi wanita yang belum berkahwin, keizinan mereka tertakluk kepada keizinan ibu bapa.

2) Pewarna rambut selain inai mestilah disahkan status halalnya terlebih dahulu. Ini kerana terdapat sesetengah pewarna rambut mengandungi bahan terlarang dan diharamkan oleh Islam.

Lebih membimbangkan jika pewarna rambut berkenaan akan mengakibatkan air wuduk tidak sampai kepada rambut sedangkan ia rukun dalam wuduk.

3) Wanita juga tidak boleh mempertontonkan rambut yang telah diwarnakan itu kepada lelaki yang bukan mahram kerana ia adalah aurat yang wajib ditutup.

4) Menghindari pemilihan warna hitam atau warna-warna pelik-pelik seperti biru, hijau, atau ungu yang sudah pasti menyalahi warna asal rambut. (mengikut mazhab al-Syafie yang merupakan mazhab yang diamalkan di Malaysia)

5) Tidak memudaratkan kesihatan tubuh badan. Jadi periksa dahulu kandungan pewarna rambut, bimbang nanti boleh mendatangkan impak negatif.

Rujukan: www.yadim.com.my / www.muftiwp.gov.my

Kredit fofo : Tamara Bellis, Unsplash