Pendapat 27-Apr-2020

Bolehkah alam semula jadi kekal bersih setelah tamat PKP

Muhammad Nassar
Adea Agi
Kolumnis Penyumbang
Ketenangan Sungai Klang di Kuala Lumpur © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Kualiti udara di beberapa lokasi di seluruh negara seperti Johor Bahru, Putrajaya, Ipoh, Pulau Pinang, dan Kota Kinabalu telah menunjukkan penambahbaikan pada peringkat pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Fasa mengekang penyebaran COVID-19 yang bermula dari 18 Mac lepas telah dilanjutkan ke fasa kedua dan ketiga yang akan berakhir esok. PKP akan memasuki fasa keempat dari 29 April hingga 12 Mei.

Pembacaan Indeks Pencemaran Udara Sihat akan terus baik selagi kurangnya kenderaan di jalan raya dan kilang-kilang yang beroperasi. Dan setelah PKP ditamatkan, kehidupan kita akan kembali ke rutin kesesakan lalu lintas, pembakaran terbuka dan bila kilang beroperasi secara penuh. Semua ini mengeluarkan gas pencemar seperti karbon monoksida, sulfur dioksida dan nitrogen dioksida ke atmosfera.

Pakar-pakar alam sekitar menyatakan bahawa pandemik COVID-19 yang telah menjangkiti lebih dari dua juta orang seluruh dunia adalah hasil kerakusan manusia yang telah menyakiti bumi. Ini mungkin ada kebenarannya. Betul atau tidak, terdapat pengajaran positif yang boleh diambil melalui langkah-langkah penjarakan sosial dan menghadkan pergerakan yang berlaku di hampir 200 negara – ia menguntungkan alam semula jadi dan membuka mata semua agar lebih peka dalam menjaga alam sekitar kita.

Negara China di mana wabak ini bermula, dan negara-negara di Asia juga Eropah telah melaporkan penurunan mendadak dalam tahap pencemaran udara. India telah melihat beberapa perubahan yang luar biasa di mana buat pertama kali dalam 30 tahun, para penduduk di bahagian Punjab dapat melihat puncak salji Himalaya yang diliputi salji. Ini adalah berkat peningkatan kualiti udara apabila bumi seolah-olah telah sembuh dan mendapat rehat secukupnya.

Data terkini (dari Royal Netherlands Meteorological Institute) menunjukkan penurunan ketara dalam purata kepekatan nitrogen dioksida di Eropah dari 13 Mac hingga 13 April tahun ini berbanding tahun lalu. Paris (Perancis) menyaksikan penurunan dramatik sebanyak 54%, Madrid (Sepanyol) dan Milan dan Roma (Itali) juga turun sebanyak 50%.

Di Malaysia, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia melaporkan, udara lebih bersih yang terhasil dari PKP  adalah bukti bahawa kerajaan mesti memandang serius terhadap pengurangan pelepasan karbon setelah PKP ditamatkan kelak. Sebagai contoh, analisis pembacaan sensor kualiti udara di Petaling Jaya menunjukkan penurunan pencemaran udara di daerah Petaling telah berkurang sebanyak 50-60%.

Kepekatan pencemaran udara telah menurun tajam sepanjang tempoh PKP, walaupun terdapat zon bebas kereta untuk mengurangkan pencemaran yang tidak seefektif PKP. Sektor industri harus mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (MEWA) dan pihak berkuasa tempatan apabila tamat tempoh PKP.

Selain peningkatan kualiti udara, sungai-sungai juga kelihatan lebih sihat sekarang. Sungai Klang yang mengalir melalui Kuala Lumpur dilihat lebih bersih. Ini boleh dikaitkan dengan pemberhentian sementara pelbagai aktiviti-aktiviti pembinaan. Oleh itu, persekitaran air kita mungkin akan kembali tercemar apabila aktiviti-aktiviti berkaitan mula beroperasi semula setelah berakhirnya PKP.

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran melalui surah Al-Qasas (28), ayat 77 berbunyi: “…dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Dengan mengambil iktibar daripada ayat suci di atas berkaitan dengan isu pencemaran alam, apa yang boleh kita lakukan setelah tamat tempoh PKP ialah menyambung semula semua aktiviti dan operasi kehidupan secara berperingkat untuk mengurangkan kesan buruk terhadap alam sekitar. Dunia telah menyaksikan bagaimana bumi dapat sembuh sendiri apabila aktiviti manusia berkurangan. Tiba masanya untuk kita menjalankan peranan dalam memelihara ekosistem persekitaran melalui amalan dan pembangunan yang mampan.