Bolehkah anda mengalami ketagihan kafein? Apakah tanda-tandanya?

Makanan Md Wa'iz
Md Wa'iz
Bolehkah anda mengalami ketagihan kafein? Apakah tanda-tandanya?
Bolehkah anda mengalami ketagihan kafein? Apakah tanda-tandanya? © Hola2you71 | Dreamstime.com

Tahukah anda, seseorang individu tersebut boleh mengalami ketagihan kafein? Ya, kafein yang anda dapati daripada minuman seperti kopi juga boleh menyebabkan anda ketagih kepadanya.

Semak tanda atau simptom jika anda alami ketagihan kafein seperti di bawah ini.

Maksud kafein

Kafein adalah sejenis bahan perangsang semula jadi yang diperoleh daripada beberapa jenis tumbuhan. Antara minuman atau makanan yang paling banyak mengandungi kafein ialah seperti teh, kopi dan juga koko atau coklat.

Bukan itu sahaja, minuman berkarbonat dan minuman tenaga juga banyak mengandungi kafein.

Bagaimana kafein bertindak terhadap tubuh?

Bayangkan anda meminum secawan kopi pada ketika ini. Selepas air kopi anda memasuki usus untuk dicerna, kafein daripada kopi tersebut akan mula menyerap dan memasuki aliran darah pada tubuh.

Daripada aliran darah ini, kafein akan pergi ke bahagian hati dan diuraikan kepada beberapa sebatian yang boleh memberi kesan kepada anggota tubuh anda. Salah satunya ialah otak anda.

Kafein akan merencatkan fungsi neurotransmiter dalam otak yang kemudiannya menjadikan anda lebih bertenaga dan tidak berasa letih.

Oleh sebab itu, sekiranya anda minum kopi, anda cenderung untuk terjaga dan agak sukar untuk terlelap.

Bolehkah ketagihan kafein berlaku?

Boleh. Ini kerana kafein adalah sejenis bahan psikoaktif yang boleh menyebabkan rasa ketagih kepada mereka yang kerap mengambilnya.

Ketagihan kafein yang berlaku kepada seseorang individu tersebut boleh menjejaskan kehidupannya secara negatif. Ketagihan kafein berlaku apabila anda kerap mengambil sumber kafein dengan terlalu banyak walaupun anda tahu ia memberikan kesan buruk kepada tubuh dan kehidupan anda.

Tanda atau simptom ketagihan kafein

Pengambilan kafein yang banyak sememangnya boleh menjejaskan otak dan juga sistem saraf tubuh. Antara tanda atau simptom anda sedang mengalami ketagihan kafein ialah:

  • Mengalami kesukaran untuk tidur
  • Berasa gementar
  • Sakit kepala
  • Pening kepala
  • Tekanan darah yang tinggi
  • Degupan jantung yang laju atau tidak teratur

Kesan ketagihan kafein yang boleh berlaku

Kajian ada menunjukkan, jika anda mengambil sumber minuman berkafein lebih daripada tiga cawan sehari, anda berpotensi untuk mengalami degupan jantung yang tidak teratur. Ini boleh menyebabkan beberapa isu lain yang berkaitan dengan jantung anda.

Selain itu, sumber kafein juga boleh mengganggu waktu tidur anda sekiranya ia diambil dalam tempoh enam jam sebelum waktu tidur.

Selain itu juga, ketagihan kafein juga boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi selain mendedahkan anda kepada risiko tulang reput.

Jangan ambil kafein berlebihan

Apa pun manfaat makanan yang anda ingin makan, jangan sesekali diambil secara berlebihan. Begitu juga dengan minuman berkafein seperti kopi dan juga teh.

Anda boleh meminum kopi untuk manahan mata ketika bekerja, namun cukuplah sekadar secawan sahaja.

Selain itu, elakkan meminum minuman berkafein sekurang-kurangnya enam jam sebelum tidur. Dengan itu, manfaat kafein akan diperoleh, kesan negatif juga boleh dielakkan.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.