Bolehkah qada’ solat sunat Tarawih jika tidak sempat melakukannya? Ini hukumnya

Solat 21 Apr 2021 Md Wa'iz
Md Wa'iz
Bolehkah qada’ solat sunat Tarawih jika tidak sempat melakukannya? Ini hukumnya
Bolehkah qada’ solat sunat Tarawih jika tidak sempat melakukannya? Ini hukumnya © Mohd Safwan Abd Rahmman | Dreamstime.com

Ada yang bertanya, bolehkah jika dia mahu mengqada’ solat sunat Tarawih. Ini kerana, ada dalam kalangan kita yang mungkin tidak berkesempatan untuk bersolat Tarawih disebabkan kekangan kerja atau keuzuran lain.

Apakah hukum jika kita mahu mengqada solat Tarawih? Adakah ia dibolehkan?

Solat sunat Tarawih: solat sunat yang terikat dengan waktu

Untuk memahami persoalan mengenai hukum qada’ solat sunat Tarawih ini, kita perlulah mengetahui jenis solat sunat mengikut waktu terlebih dahulu.

Menurut Imam Nawawi, ada solat sunat yang terikat dengan waktu tertentu sahaja, dan ada juga solat sunat yang tidak terikat dengan waktu khusus. Bagi jenis solat sunat yang tidak terikat dengan waktu seperti solat tahiyyatul masjid, maka ia tidak boleh diqada’ jika tertinggal.

Manakala bagi solat sunat yang terikat dengan waktu seperti solat hari raya, ia disunatkan untuk diqada’kan jika kita tertinggal dan inilah pandangan ulama’ yang paling tepat.

Memandangkan solat sunat Tarawih hanya boleh dilakukan ketika bulan Ramadan, maka ia tergolong dalam solat sunat yang terikat dengan waktu khusus.

Bolehkah saya mengqada’kan solat sunat Tarawih?

Solat sunat Tarawih adalah solat yang amat dituntut untuk dilakukan pada bulan Ramadan. Salah satu sebabnya adalah kerana ia hanya boleh dilakukan pada bulan Ramadan sahaja dan tidak boleh dilakukan pada bulan-bulan lain.

Persoalan mengenai sama ada ia boleh diqada’ atau tidak, kita boleh melihat kepada dua perbezaan pandangan ulama’. Pertama, ulama Mazhab Hanbali dan Hanafi berpandangan bahawa solat sunat Tarawih tidak boleh diqada’kan kerana ia sudah terkeluar daripada waktunya iaitu ketika masuk waktu Subuh.

Kedua, ulama’ Mazhab Syafie pula menyatakan secara umum bahawa dibolehkan untuk mengqada’ solat-solat sunat jika kita tertinggal untuk melakukannya. Pendangan ini juga telah dikemukakan oleh Imam Nawawi di mana beliau menyatakan hukum sunat untuk mengqada’kan solat sunat yang terikat pada waktu khusus seperti solat Tarawih.

Mufti Wilayah Persekutuan juga ada menyebut, solat sunat Tarawih boleh diqada’kan sekiranya kita tertinggal untuk melakukannya. Ini kerana pahala melakukan solat Tarawih adalah sangat besar dan bulan Ramadan sendiri adalah bulan ibadah.

Ganjaran besar untuk mereka yang bersolat Tarawih

Bulan Ramadan adalah bulan ibadah di mana setiap amalan kebaikan dan amal soleh akan digandakan pahalanya. Solat Tarawih pula hanya boleh dilakukan semasa bulan Ramadan dan ia disyariatkan sebagai satu bentuk ibadah khusus pada bulan Ramadan.

Walaupun kita disunatkan untuk mengqada’kan solat Tarawih yang tertinggal, ia hanya boleh dilakukan semasa bulan Ramadan sahaja. Oleh sebab itu, jika kita tidak mempunyai halangan selepas waktu Isyak, lakukanlah solat Tarawih walaupun sekadar di rumah atau sekadar beberapa rakaat sahaja.

Solat Tarawih boleh menambahkan pahala kita setiap malam sepanjang bulan Ramadan jika ia dilakukan dengan ikhlas kerana Allah Taala.