Bolehkah umat Islam terlibat dalam pelaburan saham?

Ekonomi 04 Mac 2021 Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Bolehkah umat Islam terlibat dalam pelaburan saham?
Bolehkah umat Islam terlibat dalam pelaburan saham? © Daniil Peshkov | Dreamstime.com

Kita pasti seronok apabila mendengar mengenai individu yang mendapat keuntungan hasil daripada pelaburan saham.

Namun, masih ada yang ragu-ragu mengenai hukum sebenar pelaburan saham ini. Apakah hukum melabur saham di sisi Islam?

Maksud pelaburan saham

Daripada segi bahasa, saham berasal daripada perkataan Arab ‘Sahm’ yang membawa banyak maksud. Antara maksudnya ialah ‘Nasib’ atau ‘Bahagian’.

Daripada segi istilah pula, ia mempunyai dua maksud iaitu:

  • Bahagian tertentu pemodal sesebuah syarikat harta dan ia mewakili sebahagian modal syarikat mengikut pemilikan skrip saham yang dimilikinya
  • Skrip saham atau dokumen saham yang sah yang diberikan kepada pemodal sebagai bukti pemilikannya ke atas bahagian saham tertentu. Ini juga akan memberikan pemodal satu hak dalam syarikat tersebut

Hukum pelaburan saham dalam Islam

Secara umumnya, pelaburan saham ini dihukumkan sebagai harus berdasarkan beberapa peraturan yang perlu diikuti. Umat Islam diharuskan untuk melakukan pelaburan saham dalam aktiviti pelaburan yang patuh syariah (shariah-compliant investment).

Antara tujuan pelaburan patuh syariah adalah untuk mengelakkan unsur-unsur yang diharamkan dalam Islam iaitu unsur riba dan gharar (ketidakpastian).

Jika kita melabur dalam sektor pelaburan yang tidak patuh syariah, dikhuatiri aktiviti pelaburan tersebut akan melibatkan perkara-perkara yang haram seperti pelaburan dalam sektor perjudian dan pembuatan arak. Dengan itu, keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan yang haram juga dikira sebagai sesuatu yang haram.

Selain itu, dalam al-Quran juga ada menyebut mengenai balasan bagi mereka yang terlibat dengan aktiviti riba’. Allah Taala ada berfirman yang bermaksud:

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

(Surah al-Baqarah, ayat 275)

Kepentingan pelaburan saham

Antara kepentingan utama melabur saham ialah memudahkan kecairan modal yang lebih berkesan antara pihak pelabur. Selain itu, pelaburan saham dalam syarikat-syarikat penting juga sebenarnya membantu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

Antara syarikat yang memberikan perkhidmatan penting untuk orang awam adalah seperti syarikat penyedia kemudahan elektrik, pengurusan air, perhubungan dan pengangkutan.

Melalui aktiviti melabur saham, umat Islam bukan sahaja boleh meningkatkan ekonomi diri tetapi juga taraf hidup masyarakat yang lain. Aktiviti melabur saham adalah satu bentuk pengembangan ekonomi yang semestinya sangat bermanfaat bagi umat Islam.

Namun, perlulah dipastikan bahawa syarikat atau aktiviti pelaburan yang disertai itu adalah patuh syariah.