Bos lwn pemimpin: Manakah pilihan kita?

Masyarakat Tari Basir
Pilihan
Bos lwn pemimpin: Manakah pilihan kita?
Bos lwn pemimpin: Manakah pilihan kita? © Denisismagilov | Dreamstime.com

Kita semua mungkin pernah berpengalaman menjadi ketua. Ketua dalam sesebuah organisasi, walaupun organisasi yang kecil seperti menjadi ketua kelas ketika bersekolah dahulu, pengarah program mahupun ketua dalam persatuan.

Hakikatnya, meskipun kita tidak bekerja atau memegang portfolio sebagai ketua organisasi seperti pegawai atau majikan, namun kita semua ialah pemimpin sekurang-kurangnya pemimpin kepada diri kita sendiri.

Bos lwn pemimpin: Manakah pilihan kita?

Nabi Muhammad SAW.bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, iaitu:

“Ketahuilah setiap daripada kamu  mu ialah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpin.”

Walau bagaimanapun, tidak semua berpeluang untuk menjawat portfolio yang lebih tinggi di tempat kerja, seperti pegawai, ketua unit mahupun majikan. Sudah tentu, bukan calang-calang orang yang mampu menyandang jawatan ini. Taraf pendidikan yang baik, pengalaman yang banyak dan susunan set kemahiran memimpin perlu dimiliki agar mampu menyandang jawatan ini.

Namun, persoalannya ialah, sejauh manakah kita berjaya menjadi seorang pemimpin yang baik di tempat kerja? Adakah kita sememangnya seorang pemimpin yang disegani dan dihormati oleh anak-anak buah kita, atau hanya sekadar bos yang rajin mengarah itu dan ini?

Antara bos, pemimpin, leader, ro’is dan imam

Terlalu banyak perkataan dalam setiap bahasa di dunia untuk mendeskripsi bos, pemimpin, majikan dan sebagainya. Malahan, wujudnya perbezaan di antara perkataan-perkataan tersebut bagi menggambarkan wujudnya elemen positif mahupun negatif.

Kalimah bos dalam bahasa Inggeris dikatakan berasal daripada perkataan bossy, iaitu merujuk kepada satu perbuatan yang suka mengarah. Dalam bahasa Arab pula, terjemahan pemimpin antaranya ialah ro’is yang merujuk kepada ketua atau kepala secara literalnya, atau imam yang merujuk kepada seseorang yang sentiasa di hadapan.

Perbezaan yang ada dalam setiap kalimah ini menunjukkan bahawa adanya taraf dan darjat sama ada lebih baik mahupun lebih buruk. Bahkan kalimah ini bertukar menjadi panggilan, gelaran dan juga pengiktirafan anak buah terhadap ketuanya.

Jika ketuanya hanya sekadar diiktiraf sebagai bos atau majikan, boleh jadi ia disebabkan sikap suka mengarah atau ketidakwujudan sifat hormat anak buah terhadap ketuanya. Jika ia digelar leader atau imam, kemungkinan ia lambang pengiktirafan anak buah terhadap sifat hormat dan taat setia kepada pemimpinnya.

Mana yang lebih baik, bos atau pemimpin?

Sememangnya, pemimpin atau leader sudah tentu lebih baik. Kita memimpin anak-anak buah kita dengan baik, memberikan arahan yang jelas dan jitu, memikirkan strategi yang tepat, selain menjadi role model dan contoh ikutan yang baik. Bersikap baik kepada mereka juga salah satu daripada ciri-ciri seorang pemimpin yang baik.

Menjadi hanya sekadar seorang bos, atau terlalu berpegang dengan jawatan tersebut sehingga kita tegar menindas anak-anak buah kita, menyukarkan dan menganggap mereka tidak lebih hanya sekadar pekerja bawahan, ialah sifat seorang pemimpin yang buruk lagi zalim.

Memang di tempat kerja, setiap arahan kita akan dituruti kerana takut kehilangan kerja dan sebagainya. Namun, kita sesekali tidak akan meraih rasa hormat apatah lagi rasa sayang sesama ukhuwah Islamiah daripada para pekerja kita.

Sebenarnya, tersangat rugi bersifat bos atau berbangga dengan ketinggian jawatan, sehingga kita merasakan kita lebih baik daripada anak-anak buah kita. Mengapa memilih untuk bersifat demikian, sehingga akhirnya kita dijauhi dan tidak disayangi?

Sedangkan kita mampu menjadi seorang pemimpin yang disegani lagi dihormati. Yang hadirnya dinanti, pemergian ditangisi. Berbanding hadirnya dibenci, pemergian dirai.