Buah Labu – kegemaran Rasulullah SAW dan kisah Nabi Yunus a.s

Makanan Sihat Hanita Hassan
Hanita Hassan
Buah Labu - kegemaran Rasulullah SAW dan kisah Nabi Yunus a.s
Buah Labu - kegemaran Rasulullah SAW dan kisah Nabi Yunus a.s © Siegi232 | Dreamstime.com

Labu adalah sejenis sayur yang mengandungi pelbagai manfaat untuk kesihatan tubuh badan. Secawan labu kuning boleh memenuhi keperluan vitamin A lebih daripada 100% dan vitamin C sebanyak 20%.

Ia juga terkandung vitamin E, riboflavin, kalium, kuprum dan mangan 10 peratus dan thiamin, B6, folat, asid pantotenik, niasin, besi, magnesium dan fosforus sebanyak lima peratus.

Pokok labu disebut dalam al-Quran sepertimana firman-Nya yang bermaksud:

“Dan Kami tumbuhkan untuk dia sebatang pohon dari jenis labu.”

(Surah Ash Shaaffaat, ayat 146)

Buah Labu adalah antara buah kegemaran Rasulullah SAW

Labu adalah antara makanan kegemaran Rasulullah SAW.  Sekiranya dalam hidangan ada labu, maka Baginda akan mengambilnya berbanding makanan yang lain.   Banyak riwayat yang sahih yang menukilkan tentang labu.

Antaranya daripada Anas bin Malik r.a bahawa seorang tukang jahit telah mengundang Rasulullah SAW makan di rumahnya dan menikmati hidangan masakannya sendiri.  Anas berkata:

“Rasulullah SAW telah dijemput ke jamuan makan oleh seorang tukang jahit dan aku pergi bersama baginda. Tuan rumah menghidangkan roti gandum, kuah berisi labu, dan daging. Aku melihat Rasulullah SAW mencari-cari labu di dalam piring hidangan. Sejak itu, aku menyukai labu.”

(Hadis riwayat Muslim)

Abu Thalut pernah mengkhabarkan bahawa: “Aku pernah menemui Anas bin Malik r.a makan labu sambil berkata: “Sungguh engkau berasal dari pohon yang paling kusukai, kerana Rasulullah SAW amat menyukaimu.”

Dalam Al-Ghailaniyyat disebut hadis daripada Hisyam bin Urwah, daripada ayahnya, daripada Aisyah r.a mengkhabarkan:

“Rasulullah SAW pernah berkata kepadaku: Wahai Aisyah, jika engkau memasak makanan, banyakkanlah labu, sesungguhnya labu itu boleh mengubat kesedihan.”

Kisah Nabi Yusus  a.s dan Labu atau Yaqthiin

Ketika Nabi Yunus a.s diselamatkan dan dikeluarkan oleh Allah SWT daripada perut ikan Nun, Baginda terdampar di sebuah kawasan tandus dan kelaparan.  Allah SWT telah menumbuhkan sebuah pokok untuknya yang disebut ‘Yaqthiin’.

Para mufassir menafsirkan ia sebagai pokok labu (Tafsir Ibnu Katshir).  Kisah ini disebut dalam al-Qurah Surah ash-Shaaffaat, ayat 142 – 146. Kenapa labu? Allah SWT menumbuhkan pokok labu untuk Nabi Yunus a.s kerana nutrisinya dan ia menjadi tempat berlindung dan ubat. As-Suddy mengatakan keadaan Baginda seperti bayi baharu lahir.  Manakala Ibnu Mas’ud berpendapat Baginda seperti ayam yang dicabut bulunya  (Tafsir Ibnu Katsir).

Daun labu yang banyak dan lebar sebagai pelindung kepada Nabi Yunus a.s daripada panas matahari di pantai terbuka yang tiada pokok.  Daun labu tidak disukai lalat dan menjadi pelindung daripada lalat dan gangguannya. Buahnya pula boleh dimakan mentah tanpa perlu dimasak.

Sifatnya yang menjalar di atas tanah senang dipetik oleh Nabi Yunus a.s.  Ia juga mudah dikunyah dan dicerna serta boleh menghilangkan rasa haus.  Tidak perlu minum selepas memakannya.  Buah labu juga dapat mententeramkan fikiran.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sekiranya dia (Yunus) tidak segera mendapat nikmat dari Tuhannya, pastilah dia dicampakkan ke tanah tandus dalam keadaan tercela, lalu Tuhannya memilihnya dan menjadikannya termasuk orang yang soleh.”

(Surah al-Qalam, ayat 49-50)