Buah Tin penawar penyakit

Selera Hanita Hassan 07-Jul-2020
Buah Tin segar berupaya melawan penyakit © Prudencio Alvarez | Dreamstime.com

Tin atau pokok Ara (dengan pelbagai spesies yang berbeza di Malaysia) adalah antara tumbuhan terawal yang ditanam dalam sejarah peradaban manusia. Pokoknya berdaun lebat dan cepat membiak.  Bangsa Rom purba menganggap buah tin adalah buah yang suci sehingga satu undang-undang khas dibuat bagi melarang buah tin dieksport ke luar negara.

Allah SWT bersumpah dengan buah Tin kerana ia adalah sejenis buah dan penawar kepada banyak penyakit. Buahnya lembut dan ia boleh membantu mempercepat proses penghadaman. Kandungan nutriennya dapat dijadikan penawar kerana ia berfungsi merawat dan mengeluarkan sisa bahan kumuh dalam badan.

Kisah buah Tin telah disebut secara khusus oleh Allah SWT dalam Surah at-Tin, ayat satu yang bermaksud: “Demi buah Tin dan buah Zaitun.”

Tafsir para ulama dikemukakan dalam berbagai pendapat tentang ayat ini.  Ada ulama yang menafsirkan ia sebagai buah Tin itu sendiri, tidak kurang juga yang mengaitkan ia dengan sebuah bukit yang terletak di Syam.

Buah Tin terkenal kerana ia adalah buah yang memiliki biji yang halus dan banyak.  Warnanya berbeza mengikut jenis. Kebanyakannya dijual di pasaran dalam bentuk kering.  Walau bagaimanapun, buah ini lebih enak dimakan segar. Rasanya unik dengan tekstur segar. Isi buah tin dipenuhi dengan biji yang rangup, manis dan sedikit liat apabila dikunyah.  Ia adalah antara buah yang popular di dunia.

Buah Tin juga baik untuk meningkatkan kesihatan, membantu menurunkan tekanan darah tinggi dan  berat badan.  Bagi wanita, ia boleh melindungi anda daripada terkena barah payu dara. Pengambilan serat yang tinggi mampu melindungi anda yang sudah menopaus daripada barah payu dara.  Kajian kepada 51,823 wanita menopaus selama lapan tahun mendapati terdapat pengurangan risiko sehingga 34% kepada mereka yang terlibat.

Bagi pesakit kencing manis atau diabetes, daun buah Tin mengandungi bahan anti diabetik yang berupaya mengawal jumlah insulin yang diperlukan.  Ia sekali gus  mengawal kadar kandungan gula dalam darah pesakit. Selain itu, nutrien di dalamnya mampu menyingkirkan lemak dalam saluran darah serta melindungi diri daripada pertumbuhan sel barah.

Faktor usia juga menjadi penyebab kepada kadar penglihatan yang semakin merosot. Justeru, pengambilan buah Tin mampu melindungi penglihatan anda. Begitu juga dengan masalah sembelit dan kanser kolon.

Kalsium dan fosforus yang terdapat di dalam kandungan nutriennya boleh bertindak sebagai agen untuk menguatkan tulang sekali gus mengelakkan risiko osteoporosis. Ia juga dapat membantu menggalakkan pertumbuhan tulang dan membaiki tulang yang rosak.

Buah Tin juga elok untuk anda yang mengalami sakit tekak.  Lendir yang terdapat di dalam buah tin berperanan sebagai bahan penyejuk kepada tekak dan melindungi serta melegakan kesakitan pada kerongkong dan peti suara.

Daripada Abu Darda r.a yang meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:  “Sekiranya kukatakan ada buah-buahan yang  diturunkan dari syurga,  maka itulah buah Tin.  Sebab buah-buahan syurga itu tanpa biji.  Makanlah ia, kerana ia dapat menghentikan wasir dan bermanfaat menyembuhkan encok.” (Dituturkan oleh Ibnu Qayyim dalam Zaadul Ma’aad)