Bubur lambuk juadah enak berbuka

Makanan Hanita Hassan 14-Mei-2020
Bubur lambuk pilihan berbuka puasa © Adamlss01 | Dreamstime.com

Berbuka adalah saat yang menggembirakan hati mereka yang berpuasa terutama golongan kanak-kanak. Bersegera dalam berbuka adalah antara perkara yang disunatkan di dalam Islam kerana ia membezakan antara cara berpuasa orang Yahudi dan Nasrani.

Dari Sahi Ibn Sa’d r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Manusia sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Al-Bukhari, Kitab al-Sawm, Bab Ta’jil al-iftar, No. 1856)

Setiap kali berbuka, makanan yang sering menjadi idaman rakyat di Malaysia ialah bubur lambuk.   Bubur lambuk adalah makanan warisan yang biasanya dimasak dalam jumlah yang banyak untuk diagih-agih kepada masyarakat setempat. Ia disediakan oleh sekumpulan sukarelawan di kawasan masjid atau rumah.

Bubur lambuk yang dimasak menggunakan beras dan santan dapat menggantikan hidangan makanan utama seperti nasi.  Ia adalah antara makanan sihat yang mudah disediakan serta menjimatkan masa.  Rasanya lazat, lembut dan mudah dihadam, mengenyangkan serta memudahkan sistem pencernaan.

Ramuannya terdiri daripada campuran beras dan santan, daging cincang, rempah ratus, daun pandan, hirisan bawang untuk menumis, udang kering kisar, air dan garam secukup rasa.  Daun bawang yang dihiris halus akan ditabur di atas bubur apabila  siap dimasak.

Setelah lebih 12 jam kita berlapar dan dahaga, badan memerlukan makanan berkhasiat untuk mengembalikan tenaga yang telah hilang.  Bubur lambuk bukan sahaja mengandungi banyak khasiat tetapi makanan yang memberikan tenaga, menambah selera serta mengimbangi rasa pemakanan manis dan pedas.

Bubur sering menjadi pilihan sewaktu berbuka. Selain sifatnya lembut, ia juga mengandungi pelbagai khasiat.  Ramuan bubur lambuk boleh dipelbagai dengan menukar daging kepada ayam, ikan, atau udang mengikut kesesuaian dan kehendak selera kita.

Setiap negeri di Malaysia mempunyai cara penyediaan bubur yang tersendiri. Di Terengganu misalnya, ia terkenal dengan bubur yang dimasak bersama pelbagai jenis ulaman dengan isi ikan.  Begitu juga dengan Pulau Pinang, terkenal dengan bubur   daging yang dicampur dengan rempah ratus, taburan daun sup serta bawang goreng.

Bubur pedas adalah juadah berbuka yang terkenal di Sarawak. Ia agak unik kerana diperbuat daripada rempah khas bubur pedas, selain keledek dan udang.  Ia boleh juga menggunakan ayam atau daging, kacang panjang, terung, udang kering, serai, jagung muda, daun cekur manis, ubi kentang, lobak, tahu kering, cendawan cina, kunyit, bawang putih, bawang merah, belacan, cili dan santan.

Tidak kira apa pun jenis juadah berbuka puasa, kita hendaklah memulakan dengan makanan yang ringkas seperti buah kurma.  Ia  mengandungi fruktosa yang tinggi sumber tenaga,  mempunyai enzim yang membantu proses penghadaman untuk makanan yang seterusnya.

Selain makanan yang seimbang, air yang mencukupi juga perlu diambil semasa berbuka   sama ada dalam bentuk minuman ataupun sup.  Ia penting untuk mengelakkan dehidrasi. Pengambilan makanan yang pedas serta berempah juga tidak begitu digalakkan kerana dibimbangi menimbulkan ketidakselesaan kepada perut pada siang hari.

Selamat berbuka puasa dan menjamu selera.