Budaya pos kad Hari Raya yang semakin dilupakan

Acara Siti Suriani Othman
Siti Suriani Othman
Budaya pos kad Hari Raya yang semakin dilupakan
Budaya pos kad Hari Raya yang semakin dilupakan © Hafiza Samsuddin | Dreamstime.com

Tulisan ini akan membincangkan betapa budaya mengepos kad Hari Raya telah menjadi semakin luntur kerana ancaman teknologi digital. Secara peribadi, perasaan menerima kad raya memang mengujakan.

Penulis sendiri tidak akan pernah lupa pengalaman menerima beratus-ratus keping kad raya ketika di zaman sekolah rendah.

Kad raya bukan sekadar pengganti diri

Ketika itu, penulis agak ‘popular’ kerana memenangi pelbagai pertandingan dalam majalah kanak-kanak dan mempunyai ratusan rakan pena dari seluruh Malaysia. Sebagaimana banyaknya surat untuk berkenalan diterima, begitu jugalah jumlah kad Raya daripada kenalan pena.

Tambahan lagi, ada kad Raya yang dihantar secara sengaja dan dirancang oleh abang  dan kawan-kawannya yang menulis kad raya sehingga  ratusan keping kad raya telah diterima! Posmen pun sampai kenal dan menegur, “Banyak betul dapat kad Raya, ya Dik!”.

Kad-kad Raya yang diterima digantung dan disimpan, meninggalkan kenangan manis yang bukan sedikit. Kad raya bukan hanya sekadar pengganti diri tetapi mempunyai nilai sentimental yang unik dan tersendiri melalui usaha dan ingatan oleh si pengirim. Sentuhan perkataan yang disusun dan rekabentuk kad yang cantik dan menarik.

Kad Hari Raya digital

Namun, segalanya tinggal kenangan apabila kita semua mula menghantar kad Raya digital yang kurang meninggalkan kesan emosi yang mendalam. Malah, ada yang tidak dibuka dan dibaca oleh si penerima.

Pengeposan kad Raya hanya popular pada tahun 1990-an, dan hari ini jumlahnya sangat merudum. Menurut statistik daripada Pos Malaysia, jumlah kad raya yang diterima Pusat Mel Nasional (PMN) pada 2020 ialah sekitar 58,000 keping sahaja. Berbanding yang tertinggi pernah dicatat iaitu pada 2013 sebanyak 2.8 juta keping.

Bagi kad Raya digital, walaupun konsepnya sama, tetapi bentuknya yang berbeza memberi perbezaan rasa yang tidak sama. Malahan hari ini, kad raya digital melalui e-mel juga tidak lagi popular.

Yang dikongsikan ialah ucapan digital dalam media sosial sama ada secara mesej peribadi atau dalam kumpulan-kumpulan tertentu. Ucapan yang mudah, ringkas dan diiringi dengan grafik pengirim dihantar dengan hujung jari, sangat mudah, cepat dan percuma berbanding pengeposan kad Raya dalam bentuk fizikal.

Menghidupkan budaya mengepos kad Hari Raya

Dengan perkembangan digital yang sangat pesat dan cepat ini, ada pihak yang masih berusaha mengekalkan tradisi mengepos kad Raya agar kekal menjadi amalan mengingati antara satu sama lain dengan lebih “berjiwa”.

Mungkin tidak salah menghantar ucapan Hari Raya dalam bentuk digital, tetapi menghantar dan menerima ucapan dan bentuk fizikal sememangnya pengalaman yang mengujakan dan tidak dapat dirasai oleh kesemua anak-anak generasi muda.

Marilah kita menghidupkan tradisi ini yang bukan hanya meninggalkan kesan emosi kepada kita semua tetapi juga boleh dijadikan landasan menghargai keindahan sesebuah mesej dan ucapan. Ucapan yang luhur yang lahir daripada hati, berkat kemenangan umat Islam sekaligus meraikannya dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.