Budaya pulau-memulau, dosa kering bersulam hasad

Masyarakat Aimi Azhary
Terkini oleh Aimy Azhary
Budaya pulau-memulau, dosa kering bersulam hasad
Budaya pulau-memulau, dosa kering bersulam hasad © Win Nondakowit | Dreamstime.com

Budaya pulau-memulau diharamkan di dalam Islam kerana dianggap sebagai satu bentuk kezaliman. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan ‘Pulau’ mempunyai dua maksud:

  1. Memisahkan daripada yang lain, mengasingkan, menyisihkan seseorang.
  2. Enggan menyertai atau berurusan dengan sesuatu, memboikot.

Artikel ini akan mengulas sekitar budaya keji ini dan kaedah penyelesaiannya.

Budaya pulau-memulau dan fitnah-memfitnah

Pulau-memulau merupakan budaya buruk yang sinonim dengan fitnah. Ia seringkali dicetuskan oleh sang pendengki kemudian disebarluaskan oleh si golok kayu yang tidak benar-benar kenal tentang dosa pahala.

Bahkan, Nabi Muhammad SAW menempelak tukang sebar cerita tanpa usul periksa. Daripada Hafs bin ‘Asim, sabda Nabi:

“Cukuplah seseorang itu dianggap penipu apabila dia menceritakan semua yang didengar olehnya.”

Setiap mukmin bertanggungjawab atas semua cerita berunsur fitnah yang disebarkan olehnya. Sekiranya peranan yang dimainkannya besar, maka semakin besarlah dosa dan azab yang akan menimpanya.

Ini bertepatan dengan firman Allah Taala:

“Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh balasan sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”

(Surah An-Nur, Ayat 11)

Nabi Muhammad SAW dipulau kerana membawa kebenaran

Disebabkan pengikut Nabi SAW yang semakin bertambah dari semasa ke semasa, pembesar musyrikin Mekah dan golongan berpengaruh sering melancarkan saraf supaya masyarakat memulaukan baginda.

Mereka tahu bahawa mereka tidak akan menang melawan hujah kebenaran yang dibawa baginda, maka digunakan cara kotor dan keji. Modus ini digerakkan untuk menjatuhkan kredibiliti baginda.

Lalu masyarakat menjauhkan diri sebelum mendengar hujah dan pendirian baginda Rasulullah SAW sendiri. Fenomena ini juga pasti akan berlaku kepada sesiapa sahaja yang lantang menyuarakan kepincangan dalam budaya beragama.

Tabayyun sebagai pemutus rantaian fitnah

Tanda seseorang serius dalam mencari kebenaran adalah kesungguhannya dalam bertabayyun, bukan semata-mata mempercayai setiap cerita yang didengarinya.

Tabayyun diertikan sebagai melakukan usul periksa secara tuntas dengan adil tanpa pilih bulu. Antara penghalang kepada proses tabayyun yang benar adalah termakan budi atau mempunyai sentimen peribadi dalam menilai.

Manusia mudah dibutakan untuk melihat kebenaran sekiranya pihak yang terlibat dalam sesuatu tuduhan, adalah kenalan rapat, tokoh atau idola yang dipuja dan selalu berbuat baik kepada mereka.

Mengurus konflik perbezaan pendapat

Terdapat pelbagai punca kepada budaya pulau-memulau seperti perbezaan fahaman politik, dengki akan sesuatu atau dendam yang membarah. Islam mengajar kita satu-satunya penyelesaian supaya kita tidak terperangkap dengan budaya ini dengan membudayakan hujah dan perkongsian ilmu secara jujur.

Budaya pulau-memulau kebiasaannya berunsurkan hasad dan ia sering dipadankan dengan sifat kemunafikan. Hanya dengan ilmu dan hujah yang benar mampu meluluhkan budaya buruk ini. Ia diterangkan oleh para ulama ketika menafsirkan ayat 73 daripada Surah At-Taubah.

“Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik.”

Ibnu Abbas menyebutkan:

“Jihad menentang orang kafir itu adalah dengan pedang manakala jihad melawan munafik itu dengan lisan.”

Kesimpulannya, pembudayaan hujah yang tuntas berdasarkan wahyu pasti akan melondehkan tohmahan golongan pendengki yang suka menokok-nambah sesuatu yang tidak benar.

Semoga perasaan dan emosi kita sentiasa berpandukan ilmu yang sahih, tidak melangkauinya kemudian ditakwilkan pula sentimen itu sebagai sentimen yang terpuji.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.