Budaya menghidupkan takbir raya

Takbir Hari Raya © Supawat Kampanna Hanakaz | Dreamstime.com

Tradisi takbir raya dari rumah ke rumah masih menjadi amalan di kampung-kampung di Malaysia.  Ia adalah budaya hidup masyarakat Melayu bagi menghidupkan malam-malam  raya dan menyatakan kesyukuran terhadap segala kurniaan Allah SWT.

Bertakbir pada malam raya dan pagi hari raya sehingga solat raya adalah sunat dan digalakkan sama ada di rumah, masjid, di jalan secara duduk atau berdiri dan di mana sahaja. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  “Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir.”  (Hadis riwayat al-Tabarani)

Takbir raya menjadikan suasana malam raya bertambah meriah terutama bagi perantau yang sudah lama tidak pulang ke kampung.  Biasanya  aktiviti ini  bermula selepas solat fardu Isyak berjemaah di masjid.  Kaum lelaki tidak kira tua, muda atau kanak-kanak akan bergerak secara berkumpulan dari satu rumah ke satu rumah di kampung tersebut.

Sekiranya terlalu banyak rumah yang perlu dikunjungi, kumpulan takbir raya ini akan dibahagi kepada dua kumpulan agar dapat  memenuhi hajat tuan rumah.  Mereka akan bertahlil, bertakbir dan bertahmid beramai-ramai dengan penuh semangat, dengan nada suara yang kuat serta lantang semata-mata bertujuan untuk membesarkan Allah SWT.

Aktiviti ini berlanjutan hingga pukul dua ke tiga pagi. Tidak kurang juga berlangsung sehingga ke waktu Subuh. Tuan rumah tidak tidur malam menanti kunjungan kumpulan takbir raya.  Mereka dihidangkan dengan juadah raya yang baharu dimasak bersama ketupat, rendang dan lemang. Ada juga yang hanya menyediakan air, kuih muih dan duit raya.

Juadah yang dihidang adalah sebagai tanda terima kasih kepada tetamu.  Budaya ini dapat merapatkan hubungan silaturahim sesama jiran sekampung.  Ia juga sebagai cara untuk menceria dan menghidupkan suasana malam raya sambil menghargai nikmat Allah SWT, berpeluang menjalani madrasah Ramadan dengan lancar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa Ramadan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Pada pagi hari raya, kita hendaklah merebut peluang menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid, surau atau tempat lapang yang mengadakan solat sunat berkenaan.  Ini sebagai bukti kita mendahulukan Allah SWT daripada perkara lain.

Menunaikan solat sunat hari raya serta mendengar dua khutbahnya adalah antara sunah yang dianjurkan pada hari raya. Sebelum keluar rumah, umat Islam juga disunatkan makan atau sekurang-kurangnya menjamah makanan terlebih dahulu.

“Rasulullah tidak keluar (menuju ke tempat solat) pada hari Aidilfitri sehingga Baginda makan…” (HR at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Justeru, dalam kita bergembira menyambut hari raya, kita juga harus membantu mereka yang memerlukan.  Hulurkan tangan mengikut kemampuan kerana tangan yang di atas itu lebih baik daripada tangan yang di bawah. Semoga usaha dan kebaikan yang kita lakukan ini tidak menjadikan kita takbur dengan nikmat dan kekuasaan Allah SWT. Selamat bertakbir raya dan menghidupkannya di rumah anda.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!