Bukan Cinta Aku Drama Terbaru di Slot Akasia, TV3

Bukan Cinta Aku kini sedang hangat ditayangkan di Slot Akasia, TV3 pada setiap Isnin hingga Jumaat , jam 7.00 malam, mengantikan drama terdahulu, 30 Pesanan Suara.

Drama terbaharu 20 episod ini menggandingkan Janna Nick, Baim Wong dan Syafiq Kyle sebagai teraju utama.

Ia turut dibarisi pelakon hebat seperti Mimi Lana, Daler Yusuf, Datuk Eizlan Yusof, Datin Seri Maria Farida, Marisa Yasmin, Eyka Farhana, Dini Schatzmann dan ramai lagi.

Drama terbitan Rumah Karya Citra arahan Ejump Mohd ini mengisahkan tentang Rania (Janna Nick) yang baru sahaja selesai pengajiannya dan kembali ke pangkuan keluarganya yang menetap di Florence, Itali.

Rania telah jatuh cinta dengan Arjuna (Baim Wong), pemandu keluarganya yang sering memberi kata-kata nasihat kepadanya.

Walaupun pada awalnya, Arjuna tidak berani untuk membalas cinta Rania kerana sedar tentang kedudukan dirinya yang tidak setaraf, namun perasaan cinta itu tidak mampu dinafikannya.

Percintaan mereka terpaksa disembunyikan daripada pengetahun ibu bapa Rania kerana mereka bimbang mereka tidak mengizinkannya.

Suatu hari, Rania sekeluarga perlu pulang ke Malaysia kerana perniagaan bapanya mengalami masalah di sana. Arjuna juga dibawa pulang kerana ibu Rania merasakan Arjuna sudah banyak berjasa dan menjaga Rania sepanjang mereka di Itali.

Berita itu menggembirakan Rania kerana dia tidak akan terpisah dengan Arjuna. Bagaimanapun, konflik percintaan pasangan ini bermula apabila ibu dan bapa Rania ingin menjodohkan Rania dengan Tengku Isma (Syafiq Kyle), anak kenalan mereka.

Setelah mengetahui rancangan ibu bapanya untuk menjodohkannya dengan Tengku Isma, Rania membuat keputusan untuk bertemu Tengku Isma. Rania lega apabila Tengku Isma mengatakan bahawa dia juga tidak sukakan keputusan keluarganya kerana dia sudah punya kekasih.

Rania membuat perjanjian dengan Tengku Isma supaya mereka mengikut sahaja kehendak keluarga buat sementara waktu tetapi tiada komitmen antara mereka.

Mereka boleh meneruskan hubungan dengan pasangan masing-masing dan Tengku Isma bersetuju. Malangnya, perhubungan antara Rania dan Arjuna akhirnya diketahui oleh ibu bapa Rania. Mereka kecewa kerana Rania mengkhianati kepercayaan mereka.

Rania telah dikurung dan Arjuna hilang entah ke mana kerana dihalau oleh ibu bapa Rania. Pernikahan antara Rania dan Tengku Isma dipercepatkan.

Untuk mengetahui kesudahan cerita ini, jangan lupa ikuti perjalanan cinta penuh liku di antara Rania, Arjuna dan Tengku Isma ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3 dan juga portal video tonton.

Kredit foto : TV3 Malaysia / Instagram Janna Nick