Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Bukan susah menjadi pemandu berhemah!

Budaya 09 Feb 2021
Pendapat oleh Tari Basir
Bukan susah menjadi pemandu berhemah!
Bukan susah menjadi pemandu berhemah! © Hendrik Sulaiman | Dreamstime.com

Dahulunya, memiliki kenderaan seperti kereta atau motorsikal merupakan simbol kekayaan kerana bukan semua mampu membelinya. Kerana itulah majoriti masyarakat ketika itu bergantung kepada pengangkutan awam seperti bas dan lain-lain.

Seiring dengan perubahan zaman, ia menjadi keperluan berbanding sekadar kehendak. Perkara ini menyebabkan tidak ramai lagi yang bergantung kepada pengangkutan awam.

Perubahan ini menyumbang kepada sesaknya jalan raya, terutamanya di kawasan bandar. Malahan, banyaknya kenderaan di jalan raya menyumbang kepada kemalangan jalan raya, dan ada yang membawa maut.

Mengapa kini tidak berhemah seperti mula-mula belajar memandu?

Seluruh negara di dunia mewajibkan rakyatnya yang mahu memiliki lesen memandu untuk mengambil ujian kelayakan. Ujian ini melibatkan pembelajaran secara teori dalam buku, dan semestinya praktikal di atas jalan raya sebenar.

Untuk lulus, seseorang itu sanggup menghafal kesemua undang-undang jalan raya. Bahkan sampai ke satu tahap dirinya tahu akan undang-undang jalan raya yang jarang didengari, kerana takut ia masuk ke dalam ujian.

Ketika praktikal di atas jalan raya sebenar pula, dirinya betul-betul duduk tegak di atas tempat duduk pemandu. Matanya memandang tepat di depan, ligat memerhatikan mana-mana kenderaan yang lalu. Apatah lagi dirinya sentiasa memberi isyarat atau signal sebelum masuk ke mana-mana simpang, meskipun tiada kereta di belakangnya.

Namun, apabila dirinya sudah memiliki lesen memandu, segala yang dipelajari dan dipraktikkan dahulu hanya tinggal memori. Apabila sudah mahir, tiada lagi hemah dalam panduan kerana dianggap sudah pandai. Berhemah hanya untuk mereka yang baru sahaja memperoleh lesen.

Bukan susah menjadi pemandu berhemah

Hakikatnya, seseorang yang telah lama bergelar pemandu di jalan raya tidak memerlukan tips atau cara menjadi pemandu yang berhemah. Semua itu telah dipelajari di kelas memandu ketika dahulu, ketika dirinya baru mengenal cara memegang stereng kereta atau menukar gear motorsikal.

Namun, cukuplah memiliki sikap bertolak ansur dan mematuhi undang-undang jalan raya. Berpegang teguh kepada kedua-dua elemen ini sudah cukup membuatkan seseorang itu berjaya menjadi pemandu yang berhemah.

Bertolak ansur merupakan elemen yang kurang diambil berat ketika memandu. Sifat merasakan dirinya betul, merasakan dirinya sahaja yang mahu cepat sampai atau membiarkan emosi menguasai ketika memandu menyebabkan para pengguna jalan raya yang lain tidak senang dengan kewujudannya.

Kewujudan hon kereta atau motorsikal bukanlah alat untuk memarahi atau simbol protes. Asalnya, ia wujud bagi memaklumkan bahaya atau memberi isyarat. Namun, bagi seorang pemandu yang kurang baik, keberadaan hon sama sahaja seperti memijak pedal minyak.

Memberi signal juga merupakan antara undang-undang jalan raya yang tidak dipatuhi. Perkara ini kadangkala mampu menjadi penyebab kemalangan, kerana para pemandu yang lain tidak tahu ke manakah hala tuju sebenar sesuatu kenderaan. Lalu tiba-tiba menukar arah tanpa para pemandu yang lain menyedarinya.

Bukan susah menjadi pemandu yang berhemah. Bukan apa, apabila kemalangan berlaku, semua orang dipersalahkan. Padahal dirinya yang tidak berhemah.

Kegagalan mempraktikkan segala yang dipelajari dahulu terutamanya aspek undang-undang jalan raya mampu menyumbang kepada kemalangan jalan raya. Apatah lagi jika ia dilanggar seperti mabuk dan sebagainya yang berisiko membawa kepada kematian.

Kerana kesilapan diri sendiri, nyawa pemandu lain yang menjadi taruhan. Keluarga hilang ahlinya, anak dan isteri kehilangan ayah dan suami.