Bukannya lemak tetapi gula yang sebenarnya buat kita gemuk!

Kesihatan 28 Jan 2021 Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Bukannya lemak tetapi gula yang sebenarnya buat kita gemuk!
Bukannya lemak tetapi gula yang sebenarnya buat kita gemuk! © Pongpipat Yatra | Dreamstime.com

Kita sering menganggap bahawa lemak adalah punca yang membuatkan kita jadi gemuk. Tetapi, tahukah anda sebenarnya gula yang menjadikan kita gemuk, bukannya lemak.

Bagaimana gula menyebabkan kegemukan?

Gula tinggi kalori

Salah satu sebab mengapa gula menggemukkan adalah kerana kandungan kalorinya yang tinggi. Tambahan pula, gula tidak memberikan kita banyak nutrien lain seperti vitamin.

Ia seolah-olah kalori semata-mata yang menaikkan berat badan tanpa memberikan manfaat. Gula tidak mempunyai sebarang vitamin, mineral dan protein yang bagus untuk perkembangan tubuh. Anda perlu mengambil makanan yang kaya dengan nutrien untuk memastikan fungsi tubuh berjalan dengan baik.

Jika makanan anda hanya penuh dengan gula, maka tubuh badan anda hanya akan memperoleh kalori semata-mata tanpa nutrien yang lain.

Gula beri kesan kepada gula darah

Apabila kita mengambil gula dengan kadar yang tinggi, maka paras gula darah juga semestinya akan meningkat.

Jika kita mempunyai paras gula darah tinggi yang berpanjangan (hiperglisemia), risiko untuk menjadi gemuk juga semakin bertambah.

Hiperglisemia akan menggalakkan kerintangan insulin, yang mana mempengaruhi cara gula disimpan dalam tubuh. Insulin akan menyatakan kepada tubuh sama ada menyimpan gula dalam bentuk lemak atau glukosa.

Makanan tinggi gula buatkan perut kurang kenyang

Selain itu, gula juga tidak mengandungi sebarang komponen yang boleh mengenyangkan perut. Sebagai contoh, makanan tinggi gula tidak mengandungi protein yang amat membantu dalam memberikan rasa kenyang selepas makan.

Gula juga tidak mengandungi serat yang turut berperanan menyebabkan rasa kenyang yang berpanjangan.

Dengan itu, kita cenderung untuk makan secara berlebihan sehingga menyebabkan paras gula meningkat dan kemudiannya menjadi obes.

Gula juga tingkatkan selera anda

Jenis gula terutamanya fruktosa sebenarnya boleh mempengaruhi selera makan anda. Fruktosa boleh mempengaruhi bahagian otak yang disebut sebagai hipotalamus.

Bahagian otak ini berperanan dalam mengawal selera makan anda. Apabila fruktosa mempengaruhi hipotalamus, maka selera makan anda boleh bertambah.

Dengan itu, ia mendorong anda untuk makan dengan berlebihan. Selain itu, kesan terhadap hipotalamus juga menyebabkan keinginan anda terhadap makanan manis meningkat.

Oleh sebab itu, gula bukan hanya menyebabkan anda menjadi gemuk, tetapi juga mempengaruhi anda untuk menambah pengambilan gula dalam makanan harian anda.

Gula punca utama badan gemuk

Ramai yang menganggap lemak adalah punca utama kegemukan. Namun sebenarnya, gula adalah punca utama ramai menjadi gemuk. Malah, lemak sebenarnya memberikan manfaat kepada kesihatan jantung yang tidak diketahui ramai.

Kurangkan pengambilan gula anda setiap hari. Dengan itu, anda bukan sahaja boleh mengelakkan masalah gemuk, tetapi juga penyakit kronik yang lain seperti diabetes dan masalah buah pinggang.

Jagalah kesihatan anda bermula hari ini.