Bukit Mok Cun Hidang Panorama Indah Sawah Padi

Bagi kaki mendaki dan para pencinta alam semulajadi, pastinya anda tidak mahu ketinggalan untuk mendaki sambil menikmati panorama indah sawah padi yang luas terbentang.

Bayangkan semua rasa letih dan penat mendaki anda hilang begitu sahaja apabila disajikan dengan pemandangan sawah pagi menguning atau menghijau yang terhampar bagaikan karpet gergasi.

Sambil berehat menghilangkan penat, disapa pula oleh tiupan angin yang adakalanya lembut sepoi-sepoi bahasa dan adakalanya sedikit kencang.

Semua itu boleh dirasai jika anda mendaki Bukit Kodiang, atau lebih dikenali sebagai Bukit Mok Cun yang terletak di Kodiang, Kedah.

Ia digelar Bukit Mok Cun disebabkan oleh penangan drama bersiri popular, ‘Mok Cun’ lakonan Erma Fatima, yang mana dalam drama itu dia berasal dari Kodiang.

Meskipun hanya berketinggian 140 meter, pendakian ke puncak Bukit Mok Cun ini tidak boleh dipandang enteng kerana kira-kira 90% daripada pendakian adalah melibatkan pendakian batu (rock climbing).

Justeru, skil mendaki batu amat diperlukan di samping kekuatan fizikal, terutamanya di bahagian lengan dan kaki bagi memastikan anda tidak berputus asa ketika sedang bergayut di batu-batu yang curam.

Tempoh masa pendakian pula boleh mengambil masa sehingga 30 minit, bergantung kepada kelajuan dan kecergasan fizikal masing-masing.

Sedikit informasi untuk yang berhasrat mendaki bukit ini, anda boleh Waze; Kampung Kandis dan meletak kenderaan di sebuah kawasan parkir yang telah disediakan di kaki bukit tersebut.

Pendakian bermula dengan kawasan denai hutan yang sedikit berbukit, namun agak mudah yang mengambil masa kira-kira 15 minit.

 

Kemudian, anda akan menemui kawasan batu curam yang tinggi bagaikan sebuah dinding yang memisahkan anda dengan dunia asing.

Di sinilah kekuatan fizikal dan mental akan benar-benar teruji, di mana batu curam dan tajam bersudut 90 darjah menanti para pendaki sehingga ke puncak.

Terdapat tali yang sudah pun tersedia untuk mendaki, namun, anda tidak digalakkan untuk memanjat batu ini berseorangan.

Khidmat malim gunung turut disediakan bagi yang memerlukan bantuan.

Aktiviti pendakian batu tersebut mengambil masa kira-kira 15 minit, bergantung kepada kekuatan fizikal dan mental anda.

Jadi, jangan lupa untuk memakai sarung tangan dan pelapik lutut bagi mengelakkan sebarang kecederaan.

 

Selepas kira-kira 15 minit mendaki batu, akhirnya anda akan tiba di puncak yang menghidangkan pemandangan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Dari puncak bukit, anda boleh melihat pemandangan sawah padi ataupun digelar ‘bendang’ dalam kalangan penduduk negeri Kedah yang menghijau atau menguning, landasan kereta api serta bukit-bukau yang luas terbentang bagaikan lukisan.

Pasti semua penat lelah akan hilang begitu sahaja tatkala anda duduk berehat di puncak Bukit Mok Cun kerana pemandangan sebegitu tidak dapat dibeli dengan wang ringgit atau dilihat di kaca-kaca televisyen.

Jadi, bagi kaki mendaki dan pencinta alam semula jadi yang tidak kisah mengembara jauh sedikit, keluarlah dari ibu kota dan menuju ke utara tanah air untuk menikmati sendiri keindahan lukisan alam di Bukit Mok Cun.

Pastinya gambaran pemandangan itu akan terakam buat selama-lamanya dalam memori anda.

Foto: Osman Sulaiman & Nor Syazrina