Bukit Thur dan sejarah yang perlu diketahui

Alam Sekitar 07 Apr 2021 Hanita Hassan
Hanita Hassan
Bukit Thur dan sejarah yang perlu diketahui
Bukit Thur dan sejarah yang perlu diketahui © Nurlan Mammadzada | Dreamstime.com

Jabal Thur atau Bukit Thur (Thawr) terletak di tanah rendah Mekah sekitar empat kilometer di sebelah selatan Masjidil Haram.  Bukit Thur mempunyai kaitan yang cukup rapat dengan Rasulullah SAW.

Ia adalah lokasi persembunyian Baginda bersama sahabat Saidina Abu Bakar a.s selama tiga hari bagi mengelak cubaan membunuh golongan kafir Quraisy.

Mendaki Jabal Thur

Bukit Thur adalah saksi perjuangan dan pengorbanan Baginda dan Saidina Abu Bakar r.a dalam menyebar dan mengembangkan dakwah Islam ke serata dunia.  Peristiwa itu juga sebagai pencetus awal penghijrahan Baginda dari Makkah ke Madinah seterusnya mengasaskan sebuah negara Islam pertama.

Sekiranya anda berkesempatan berada di bumi Makkah, peruntukkan waktu dan cuba daki bukit Thur.  Pengalaman ini boleh membantu merawat jiwa dan sebagai mengenang peristiwa kegigihan Rasulullah SAW dan sahabat.

Walau bagaimanapun, anda mesti membuat persediaan awal, mempunyai stamina yang cukup dan semangat juang yang tinggi untuk mendaki. Berketinggian 748 meter dari aras laut, berada di atas bukit ini menginsafkan kita akan perjuangan suci Baginda menyelamatkan risalah Islam.

Seeloknya pendakian hendaklah dibuat pada awal pagi.  Trek untuk pendakian juga telah tersedia tetapi agak menegak.  Sesetengah bahagian jalur dibuat secara zig zag bagi mengurangkan kecerunan.

Sekiranya anda mendaki agak lewat, cuaca semakin panas kerana kawasan sekitar adalah terbuka dan tidak berpohon. Ketika ini anda boleh bayangkan bagaimana kegigihan anakanda Abu Bakar r.a, iaitu Asma yang sedang mengandung mendaki bukit ini menghantar makanan selama tiga hari.

Itulah pengorbanan suci yang perlu kita syukuri sehingga membolehkan kita menikmati Islam pada hari ini.

Bukit Thur dan sejarah yang perlu diketahui

Proses pendakian tidaklah terlalu sukar bagi yang biasa mendaki.  Boleh jadi ia sukar bagi pendaki yang pertama kali mencuba.  Anda perlu membawa bersama air minuman secukupnya untuk menampung keperluan air semasa pendakian.

Pendakian mengambil masa satu jam 30 minit untuk sampai ke puncak.  Banyak bongkah batu yang besar di bahagian puncak bukit yang luas.  Dari atas bukit Thur ini, anda boleh melihat dengan jelas menara Masjidil Haram.

Gua Thur menyerupai ruang kecil yang terbentuk hasil tindanan batu-batu besar yang tidak rapat ke tanah.  Anda boleh memilih masuk ke gua ini melalui pintu di timur atau di barat.  Anda perlu merangkak keluar dengan merendahkan diri.

Peristiwa bersejarah ini berlaku pada tahun ke-14 setelah Nabi Muhammad SAW diangkat sebagai Nabi.  Pada malam kejadian, sejumlah 11 pemuda kafir Quraisy mengepung rumah Baginda.  Mereka merancang membunuh Rasulullah pada waktu Subuh ketika Baginda ke masjid.

Rancangan jahat membunuh Baginda Rasulullah SAW diketuai oleh Abu Jahal. Beliau telah mempengerusikan satu mesyuarat khas bersama para pembesar kafir Quraisy.  Seorang lelaki tua yang sebenarnya jelmaan iblis turut sama menyokong usul tersebut.

Dengan pertolongan Allah SWT telah menyebabkan kesemua pemuda yang mengepung rumah Rasulullah SAW di luar rumah tertidur.  Baginda dan Abu Bakar r.a dengan mudah dapat keluar secara senyap dari rumah.  Tempat tidur Baginda telah digantikan oleh Saidina Ali bin Abi Talib r.a.

Pendakian sejarah seperti ini boleh mendidik diri supaya sentiasa bersyukur dalam rahmat Allah SWT.