Buku biografi Nabi Muhammad pilihan Tony Fernandes ketika PKP

Hiburan Hafiz Firdaus 24-Apr-2020
Bacaan pilihan Tony Fernandes ketika PKP © instagram.com/tonyfernandes/

Rakyat Malaysia pelbagai bangsa telah menggunakan masa mereka dengan melakukan bermacam-macam perkara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang. Bagi Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd., beliau menggunakannya untuk belajar tentang agama lain.

Akaun Instagram peribadi beliau memaparkan foto dan komen mengenai penggunaan sedikit masa lapangnya dengan membaca ‘buku yang luar biasa’ tentang Nabi Muhammad SAW. Menurut catatan Instagram itu, beliau cuba untuk memahami agama Islam dan para penganutnya yang dianggap sebagai bersaudara.

Nasihat Tony, ini adalah masa untuk semua memahami dan belajar untuk bertoleransi. Gunakan masa untuk memperbaiki diri dan belajar lebih banyak. Buku yang dipercayai bertajuk Al-Shama’il al Muhamaddiya dari Imam al Tirmidhi, memaparkan kompilasi terjemahan 415 hadis mengenai kehidupan, penampilan dan tingkah laku Nabi Muhammad SAW.

Kemaskini status tersebut telah menyebabkan pelbagai reaksi daripada pengikut-pengikut akaun Instagram beliau yang berasa terkejut, gembira, memuji dan sebagainya. Kebanyakan daripada komen-komen pada status yang telah disukai sebanyak hampir 22,000 kali, turut bersetuju dengan nasihat pengasas AirAsia yang berusia 55 tahun itu, dan memuji sikap terbuka beliau.