Bulan Ramadan – antara adat dan ibadat

Berbuka puasa di rumah © Odua | Dreamstime.com

Bulan Ramadan yang penuh keberkatan telah pun tiba lagi. Tahun ini, sambutannya adalah sangat berlainan sekali akibat berlakunya wabak coronavirus baru COVID-19. Namun, sebagai seorang muslim, kita sememangnya ternanti-nanti akan kedatangan bulan yang penuh berkat ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 183:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.”

Ibadah puasa adalah salah satu suruhan yang terkandung dalam rukun Islam. Puasa sebulan Ramadan adalah untuk mencapai sifat takwa kepada Allah SWT. Meninggalkan puasa Ramadhan tanpa uzur syarie (dibenarkan syarak) adalah berdosa dan menjadi kafir apabila menafikan kewajibannya.

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

“Pegangan Islam dan dasar-dasarnya adalah tiga perkara, sesiapa meninggalkan salah satu daripadanya maka ia adalah kafir, iaitu penyaksian keesaan Allah, mendirikan solat dan puasa Ramadan.”(hadis riwayat Abu Ya’la dan al-Dailami)

Rasulullah SAW turut bersabda:

“Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar, dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam.” (Riwayat Ibnu Majah)

Sepertimana hadis Nabi di atas, amatlah dirisaukan jika puasa kita hanyalah sia-sia dan mendapat lapar dan dahaga sahaja. Kita tidak mahu puasa kita hanya puasa adat, yakni puasa ikut-ikutan dan bukannya puasa ibadat.

Sebagai contoh, ada yang berpuasa kerana rakan-rakan dan ahli keluarga mereka turut berpuasa. Mereka malu dengan rakan-rakan dan keluarga mereka jika tidak berpuasa. Ini sudah bertentangan dengan niat dan kewajipan menunaikan ibadah puasa itu sendiri.

Dalam adat kita juga, kita sudah biasa berkata tidak mahu mengumpat atau menyebut perkataan yang tidak elok di bulan Ramadan. Sedangkan perkara itu memang sebenarnya perlu dielakkan setiap masa.

Di sinilah kita sepatutnya kembali kepada gaya hidup Rasulullah SAW dan cuba menjadikan puasa kita ini mengikut ibadat. Sudah pastinya kita harus mengikut sunnah Rasulullah yang telah dikongsikan baginda.

Mungkin di sini ada juga hikmahnya melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita sedang alami ini. Semoga dengan PKP ini, kita dapat mengurangkan adat-adat yang kurang baik dalam ibadah puasa yang telah sinonim dengan masyarakat dan budaya kita.

Semoga kali ini kita dapat menjalani ibadah kita dengan sebaik mungkin, insya-Allah.