‘Bumi Itu Bulat’ Sarat Mesej Toleransi Dalam Masyarakat

Mengangkat tema masyarakat yang hidup dalam kepelbagaian budaya, bangsa, agama dan pegangan, serta kepentingan untuk bertolak-ansur meskipun mempunyai cara hidup berbeza, filem terbaharu dari Indonesia, Bumi Itu Bulat ternyata sebuah naskhah yang tepat buat penonton yang gemar akan jalan cerita yang sarat dengan pengajaran.

Meskipun mengetengahkan plot yang sedikit berat serta dialog-dialog yang agak berbaur sensitif, filem arahan Ron Widodo itu mengisahkan tentang perjalanan hidup sekumpulan anak muda, Rahabi (Ryan Wijaya), Tiara (Rania Putrisari), Sayid (Qausar Harta), Markus (Kenny Austin) dan Yusuf (Aldy Rialdi) dalam menjadi kumpulan acapella yang dikenali ramai yang bergelar Rujak Acapella.

Sangkaan penulis pada permulaan cerita bahawa filem itu akan banyak mengetengahkan babak-babak nyanyian acapella seperti dalam Pitch Perfect ternyata meleset sama sekali, kerana Bumi Itu Bulat membawa persoalan kemasyarakatan dan agama yang lebih berat.

Semuanya bermula apabila Rujak Acapella bertemu dengan seorang komposer muzik yang menawarkan kontrak rakaman album, tetapi dengan syarat; Aisha perlu menjadi sebahagian daripada kumpulan itu.

Aisha suatu ketika dahulu pernah menjadi seorang penyanyi remaja popular, namun telah mengambil keputusan untuk bersara dan berhijrah dengan memakai tudung litup.

Demi merealisasikan impian kumpulannya, Rahabi sanggup melakukan apa sahaja asalkan Aisha bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada ahli kumpulannya.

Salah satu syarat Aisha yang perlu dipenuhi Rahabi adalah untuk menemuramah seorang pensyarah yang telah dibuang daripada jawatannya dan dipingirkan, iaitu Farah, disebabkan oleh ucapannya yang berunsur hasutan.

Di sinilah satu persatu konflik mula muncul, di mana Rahabi mula bergaul dengan kumpulan ekstrimis, barisan berhaluan kiri di universiti demi untuk memenuhi syarat Aisha agar dia bersetuju untuk menyertai Rujak Acapella.

Tindakan Rahabi itu bagaimanapun tidak disenangi ahli kumpulannya yang lain kerana mereka curiga dengan keperibadian Aisha, selain Aisha sendiri yang secara terang-terangan mengaku bahawa dia tidak boleh bergaul dengan orang yang beragama Kristian, iaitu Markus.

Pelbagai babak realiti kemasyarakatan dipaparkan, seperti wujudnya puak pelampau di Indonesia, gerakan mahasiswa berhaluan kiri, serta segelintir masyarakat yang tidak menyenangi akan kewujudan gereja dalam kawasan kejiranan mereka.

Ternyata si pengarah juga bijak memaparkan sindiran dalam salah satu babak, di mana terdapat salah seorang petunjuk perasaan menuntut pihak berkuasa meruntuhkan gereja kerana bimbang ia mengganggu kesejahteraan agama Islam.

Namun, hakikatnya, dia sendiri merupakan seorang lelaki Islam yang bertindik, yang mana sudah tentulah perbuatannya itu salah di sisi agama Islam.

Penonton juga pasti tertanya-tanya dengan keperibadian Aisha, yang digambarkan sebagai seorang Muslimah sejati yang bertudung litup dan telah ‘berhijrah’, namun amat prejudis terhadap orang bukan Islam dan kata-katanya banyak berbaur benci.

Justeru, pokok pangkal utama yang ingin diketengahkan dalam filem ini adalah mesej toleransi dalam kalangan generasi muda, bertolak-ansur antara pelbagai kaum dan agama serta semangat patriotisme dalam diri setiap orang.

Itulah yang cuba disampaikan dalam filem Bumi Itu Bulat yang kini telah menemui para penonton di pawagan Malaysia bermula 18 April lepas.

Cerita asal oleh Robert Ronny dan Vera Varida, ia diterbitkan dan dipasarkan secara kerjasama oleh Astro Shaw & Inspiration Pictures.

Foto: Astro Shaw