Bunga – Rapper Berhijab Malaysia Pertama Jadi Perhatian Akhbar New York

Rapper wanita berhijab pertama dari Malaysia iaitu Bunga, 19, telah menarik perhatian bukan sahaja di Malaysia, malah sehingga ke New York.

Baru-baru ini akhbar The New York Times telah menerbitkan artikel tentang Bunga.

 

Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakri berkata dia tidak pernah terfikir untuk menjadikan bidang muzik sebagai karier. Dia sebenarnya mahu menjadi ahli politik ataupun peguam.

Nama Bunga mula menjadi perhatian selepas dia muncul dalam program sebuah pertandingan mencari rapper dan terus menjadi tular dek penampilannya yang berhijab.

 

Disebabkan popularitinya di media sosial, Bunga telah dijemput untuk membuat persembahan pada acara 16 Baris yang menghimpunkan bakat-bakat dari Asia Tenggara.

Namun kata Bunga kepada pemberita The Associated Press sewaktu ditemui di sebuah acara di Singapura, pergerakkannya agak terbatas sewaktu membuat persembahan kerana tidak boleh melompat sambil memakai baju kurung.

Bunga juga terpaksa berhadapan dengan kritikan orang yang menggelarnya sebagai perosak imej wanita berhijab.

Namun perkara itu tidak mematahkan semangat Bunga kerana dia sudah berjaya buktikan bahawa wanita sepertinya juga boleh berkecimpung dalam bidang yang sering didominasi oleh kaum lelaki.

Kebanyakan ‘rapping’ Bunga adalah berkisarkan tentang kisah yang berlaku dalam hidupya termasuklah pengalaman dibuli serta cinta. Dia turut menyelitkan unsur nasihat kepada wanita dalam bait-bait lirik rapnya.

Semoga Bunga terus menghasilkan karya-karya yang mampu menaikkan semangat para remaja dan belia di luar Sana. Mana tahu satu hari nanti Bunga berpeluang berkolabarasi bersama Jay-Z ?

 

Sumber : The New York Times