Bunuh Diri: Fahami, Selami Dan Jangan Menghakimi

Setiap tahun, kira-kira 800,000 kematian akibat bunuh diri dicatatkan.

Menurut laporan World Health Organization, seorang individu membunuh diri pada setiap 40 saat, dan angka ini meningkat setiap tahun berbanding kematian yang disebabkan oleh peperangan atau pembunuhan beramai-ramai.

Angka ini menunjukkan bahawa kes bunuh diri yang kebiasannya dikaitkan dengan faktor kemurungan berpanjangan atau kesihatan mental menjadi satu isu yang tidak boleh dipandang ringan.

Kepentingan isu ini untuk difahami, diambil berat dan dibendung oleh semua pihak amat ditekankan sehinggakan tarikh 10 Oktober setiap tahun dijadikan Hari Kesihatan Mental Sedunia.

Menyokong kuat inisiatif tersebut, Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA) baru-baru ini turut mengadakan acara sidang media dan ceramah ringkas mengenai kesihatan mental dengan tema yang diketengahkan iaitu “Mental Health Promotion and Suicide Prevention”.

SalamToday yang turut hadir ke acara tersebut berpeluang menemubual Ustaz Mohd Noor Deros yang juga merupakan Naib Presiden 2 MIASA bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai gejala bunuh diri dari sudut pandangan Islam.

Berikut merupakan kupasan beliau mengenai isu tersebut.

 

Membunuh Diri Dari Sudut Pandangan Islam

Membunuh diri bermaksud perbuatan menamatkan nyawa sendiri dengan sengaja. Dan apabila perbuatan itu gagal, ia dipanggil cubaan membunuh diri.

Dalam Islam, perbuatan membunuh diri merupakan satu daripada dosa besar.

Allah S.W.T. melarang kita daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membinasakan diri kita seperti firmannya dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

 

Bagaimanapun, situasi yang berlaku pada zaman serba moden hari ini adalah masyarakat cenderung untuk menjatuhkan hukuman sendiri terhadap orang yang membunuh diri tanpa cuba untuk memahami mengapa individu terbabit mengambil tindakan itu.

Dalam perspektif Islam sekalipun, kita dilarang untuk menghakimi dosa dan pahala orang lain kerana sesungguhnya hanya Allah yang mengetahui apa yang bermain dalam fikiran setiap hambaNya.

Malahan, sebagai orang Islam, kita masih perlu melaksanakan solat jenazah untuk jenazah yang mati akibat membunuh diri dan mendoakan agar Allah mengampuni dosa-dosanya.

Ini kerana tiada siapa yang tahu ketika seseorang itu mengambil tindakan untuk membunuh diri, adakah dia melakukannya dengan sengaja ketika dalam keadaan waras atau dia sebenarnya tidak sengaja kerana hilang kewarasan.

Hanya Allah yang mengetahuinya.

Jadi Pendengar Setia

Pernahkah anda berdepan dengan individu yang dilihat mempunyai kecenderungan untuk mengambil tindakan membunuh diri?

Individu seperti ini kebiasannya mengalami simptom kemurungan yang berpanjangan sehingga membuatkan dia mengalami gangguan kesihatan mental yang seterusnya boleh membawa kepada tindakan di luar kewarasan akal fikirannya iaitu mengambil nyawa sendiri.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita sepatutnya membantu golongan ini agar dapat mencegah mereka daripada bertindak di luar jangkaan dengan cara mendengar luahan hati dan cuba untuk memahami masalah mereka.

Menurut Ustaz Mohd Noor, kadangkala mendengar itu adalah lebih berkesan berbanding berkata-kata.

Ia bermaksud, apabila kita menjadi pendengar yang setia dan ikhlas terhadap seseorang, individu tersebut akan berasa kurang terbeban dengan masalahnya dan ia dapat membantunya untuk mencapai keyakinan.

Jika kita didekati oleh individu sedemikian, jangan sesekali bertindak memotong percakapannya dan menasihatinya dengan cara yang tegas.

Ini kerana tindakan tersebut hanya akan menyebabkan individu tersebut berasa seperti tiada orang yang dapat memahami masalah yang dihadapinya, sekali gus akan menyebabkannya melakukan perkara-perkara yang memudaratkan.

Sebaliknya, gunakan pendekatan psikologi iaitu dengan cara mendekati individu tersebut dan menjadi rakan yang dipercayainya.

Misalnya, dari segi Islam, jangan menyuruh individu tersebut bersolat atau berdoa kepada Allah, sebaliknya ajak dia untuk bersolat dan berdoa bersama-sama.

Kita juga boleh memberitahunya bahawa kita turut mendoakannya agar dia berasa diri dihargai dan diambil berat oleh orang lain dan tidak berasa keseorangan.

Tindakan menyuruh individu tersebut untuk menunaikan kewajipannya sebagai orang Islam dengan cara memberi nasihat yang tegas atau mengeluarkan kata-kata seperti ‘segala masalah yang dihadapi itu merupakan hukuman ke atas dosa-dosanya’ hanyalah akan memburukkan lagi keadaannya.

Selain itu, bagi mereka yang sering menyendiri dan enggan bergaul dengan orang di sekeliling, apa yang boleh kita lakukan adalah mengajak mereka untuk turut sama menyertai aktiviti yang kita lakukan.

Misalnya, kita boleh mengajak individu tersebut untuk pergi ke apa-apa majlis, namun, kita perlu sentiasa berada bersamanya dan jangan sesekali meninggalkannya keseorangan.

Ajar individu tersebut untuk bersosial dengan masyarakat sekeliling tanpa menjadikannya terlalu ketara menerusi aktiviti-aktiviti menyeronokkan yang dapat membina keyakinan dirinya.

 

Ambil Pengajaran Daripada Filem ‘Joker’

Cuba memberi contoh dalam perspektif semasa, Ustaz Mohd Noor berkata watak Joker dalam filem tersebut merupakan salah satu contoh individu yang mempunyai masalah kesihatan mental yang tidak dibantu sehingga memaksanya mengambil jalan yang salah.

Arthur Fleck atau Joker sebenarnya boleh dibantu jika masyarakat di sekelilingnya tidak bertindak memulaukannya, memandang serong atau membulinya.

Manakala Gotham City pula digambarkan sebagai perlambangan kepada realiti kehidupan bandar serba moden pada hari ini, di mana golongan kurang berkemampuan yang dihimpit dengan pelbagai desakan hidup berasa teraniaya oleh golongan yang lebih berkuasa.

Disebabkan itu, sebagai manusia yang ‘lebih waras’, kita perlu menghapuskan stigma negatif kepada golongan ini dan sebaiknya tampil membantu mereka agar tiada ‘Joker’ yang seterusnya.

 

Foto: Kat Jaybe, Matheus Ferrero, Daria Shevtsova, Matheus Viana, Mentatdgt, Pixabay (Pexels) & Warner Bros Malaysia