Bunuh diri: penyelesaian yang tiada pengakhiran

Kesihatan Tari Basir
Tari Basir
Bunuh diri: penyelesaian yang tiada pengakhiran
Bunuh diri: penyelesaian yang tiada pengakhiran © Ben Goode | Dreamstime.com

Sehingga hari ini, virus Covid-19 terus-menerus memberikan impak yang besar kepada majoriti umat manusia. Meskipun impak ini cuba dikurangkan dengan adaptasi dan norma baharu, namun bukan semua berjaya kembali mendaki gunung kehidupan. Bahkan ada juga yang terjatuh, atau menjatuhkan diri sendiri.

Di Malaysia, statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 266 kes bunuh diri yang direkodkan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Statistik mengejutkan ini dibina daripada 25% yang berpunca daripada bebanan hutang yang tinggi, 24% daripada masalah keluarga, 23% daripada kes rumah tangga, 15% daripada faktor cinta, dan baki 13% lagi daripada bebanan kerja, halusinasi, mental, media massa dan dadah.

PDRM juga merekodkan golongan lelaki mendominasi peratusan kes bunuh diri sebanyak 78%, berbanding 22% daripada golongan wanita.

Kisah lelaki yang membunuh diri dalam peperangan bersama Nabi Muhammad SAW

Dalam sebuah kisah yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari, Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa seorang lelaki yang telah pun mati syahid ketika berperang merupakan ahli neraka.

Kenyataan ini membingungkan mereka semua yang bersama Baginda. Bagaimanakah seorang yang mati syahid ketika berperang menjadi ahli neraka? Sedangkan kematian tersebut akan diganjari syurga.

Lalu datanglah seorang lelaki yang lain, di mana dirinya menyaksikan kejadian yang sebenarnya. Lelaki tersebut menyatakan bahawa dirinya melihat lelaki itu tadi menusukkan pedang ke dadanya kerana tidak tahan menanggung luka parah akibat musuh.

Rasulullah SAW bersabda mengenai kejadian ini, iaitu: “Sesungguhnya ada seseorang yang mengamalkan amalan ahli syurga berdasarkan yang dilihat oleh manusia, padahal dia adalah dari golongan ahli neraka. Dan ada seseorang yang mengamalkan amalan ahli neraka berdasarkan yang dilihat oleh manusia, padahal dia adalah dari golongan ahli syurga.”

Usah akhiri kehidupan yang panjang demi bebanan yang sementara

Terlalu banyak nas Al-Quran dan Al-Hadith yang menegah umat Islam daripada membunuh diri sendiri. Meskipun disebabkan bebanan kehidupan yang membeliti diri sehingga tidak mampu menanggungnya lagi.

Malahan, sebagai Pencipta yang lebih mengenali manusia daripada diri manusia sendiri, Allah SWT  berfirman mengenai hakikat ujian yang diberikan-Nya. Sebagaimana ayat ke-286 dalam Surah Al-Baqarah:

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

Tidak dinafikan, seorang Muslim sendiri juga kadangkala meragui sejauh mana kebenaran firman Penciptanya ini. Ketika dirinya merasakan bebanan yang ditanggung tidak setara dengan kemampuan fizikal dan mentalnya.

Apatah lagi apabila tiba-tiba terpaksa menanggung bebanan yang hadir mengejut dek kehadiran wabak ini. Ketika mana dirinya sedang berusaha untuk tiba di puncak gunung kehidupan. Kejatuhan demi kejatuhan dirasai setelah beberapa kali cuba mendaki, lalu akhirnya menjatuhkan diri sendiri ialah solusi yang terbaik.

Allah SWT menjawab perbuatan ini dengan firman-Nya dalam Sahih Bukhari, iaitu:

“HambaKu mendahului aku dalam hal nyawanya sehingga Aku haramkan baginya syurga.”

Ingatlah, walau sedalam mana seorang Muslim itu jatuh dek penangan pandemik ini, bangkitlah mencari solusi yang terbaik selagimana terdaya. Yang pastinya, bunuh diri bukanlah solusi yang terbaik dalam mengakhiri segala bebanan tersebut.

Andai tidak terdaya lagi diri ini, mohonlah bantuan Allah SWT dan carilah manusia yang Allah kirimkan untuk meringankan beban yang ditanggung, walaupun sekurang-kurangnya rasa berat di hati.

Kerana bunuh diri tidak menyelesaikan apa-apa, selain menjadi pengakhiran sementara yang memulakan sesuatu yang tidak akan berakhir.