Burek, makanan tradisional Bosnia

Makanan Hanita Hassan 25-Jun-2020
Hidangan Burek di Bosnia © Hein Van Tonder | Dreamstime.com

Burek adalah sejenis makanan tradisi masyarakat di Republik Bosnia dan Herzegovina, negara yang terletak di selatan Eropah atau secara tepatnya di semenanjung Balkan.  Burek dikatakan berasal dari negara Turki.  Ia diperkenalkan semasa zaman taklukan Uthmaniyyah pada abad lampau.

Bagi penggemar pai, Burek boleh dimasukkan dalam senarai makanan yang patut dicuba apabila menjelajah negara Bosnia dan Herzergovina.  Ia adalah sejenis pai berintikan daging kisar, keju, bayam dan kentang.

Pastri ini digulung secara memanjang kemudian dilingkarkan menjadi bulatan sebelum dibakar.  Proses memasaknya ialah dengan membakar dalam oven menggunakan arang. Burek adalah makanan jalanan yang boleh didapati di semua kedai bakeri atau gerai jalanan di Bosnia.

Masyarakat tempatan mempunyai cara tersendiri dalam memakan Burek. Ia dicicah bersama yogurt masam sekali gus meningkatkan kelazatan Burek.  Walaupun agak berminyak bagi anda yang sedang menjaga diet pemakanan, namun rasanya sungguh enak.

Masakan Bosnia termasuk makanan, masakan, dan tabiat makan tradisional orang Bosnia dan Herzegovina yang diseimbangkan di antara pengaruh Barat dan Timur. Makanan Bosnia berkait rapat dengan masakan Turki, Timur Tengah dan negara Mediterranean.

Oleh kerana Bosnia berada di bawah pemerintahan Austria selama bertahun-tahun, maka banyak budaya masyarakat Austria sudah diasimilasi dengan budaya tempatan.  Namun begitu, cara hidup rakyat Bosnia turut dipengaruhi oleh pembaharuan yang berlaku di Eropah Tengah.

Rempah ratus banyak digunakan dalam masakan Bosnia, tetapi dalam kuantiti yang sederhana. Bahan yang biasa digunakan dalam masakan termasuk tomato, kentang, bawang, bawang putih, lada benggala, timun, lobak merah, kubis, cendawan,  bayam, zukini, kacang kering dan segar, plum, susu, paprika dan krim yang dikenali sebagai Pavlaka.

Bagi masakan yang berasaskan daging, ia biasanya menggunakan daging lembu dan kambing.  Kebanyakan hidangannya ringan, kerana dimasak dalam air yang banyak.  Sos yang digunakan adalah semula jadi yang mengandungi jus asli daripada sayur-sayuran.

Beberapa jenis makanan tradisi tempatan yang popular selain Burek ialah Cevapi atau Cevapcici.  Ia adalah sejenis kebab yang berupa sosej daging bersaiz kecil.  Ia dipanggang di atas bara kayu. Diperbuat daripada campuran daging lembu dan kambing dan dihidang bersama bawang, krim masam, ajvar dan roti pita Bosnia yang dipanggil Somun.

Makanan lain yang popular dan sedap ialah Dolma,  Sarma, Pilav, Goulash, Ajvar dan pelbagai jenis manisan Timur.  Cuaca Herzegovina yang sejuk sesuai untuk tanaman buah anggur. Manakala di wilayah Bosnia, banyak terdapat buah plum atau epal Rakija.

Secara dasarnya, kelompok etnik utama di Bosnia Herzegovina ialah Bosnia, Serbia dan Kroasia.  Jolokan kepada bangsa Bosnia ialah Bosnian.  Ibu kotanya Sarajevo iaitu yang terbesar yang menawarkan muka bumi yang cukup menarik dengan keindahan alam semula jadi, pusat pelancongan yang boleh dilawati serta makanan yang menakjubkan.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:  “Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan jangan kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”  (Surah al-baqarah, ayat 168)

Berikut sedikit perkongsian mengenai Bosnia dan Burek. Sebagai Muslim, hendaklah kita sentiasa berwaspada dalam memilih makanan dan minuman kerana mencari yang halal itu adalah perkara wajib.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!